Rahsia Tang Jie-Ee Wei muncul juara dunia

Rahsia Tang Jie-Ee Wei muncul juara dunia

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang 21-15, 21-9 dalam aksi pusingan pertama di Jyske Bank Arena, Odense semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan kejayaan bukan sekadar pukulan mantap tetapi juga mentaliti dan fokus dalam gelanggang.

Pasangan No.4 dunia itu mengekalkan keyakinan sepanjang perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia dengan mengawal setiap mata tanpa memberi peluang kepada lawan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin untuk bergelar juara dunia.

Bagi Ee Wei, kejayaan itu hadir selepas mereka berjaya mengatasi tekanan pada pusingan 16 terakhir dan terus mengekalkan fokus terhadap perancangan permainan.

“Jika anda memenanginya, anda adalah juara dunia. Semasa bermain di pusingan 16 terakhir, kami merasakan banyak tekanan, tetapi selepas itu kami berjaya mengatasinya dan hari ini kami hanya mengikut perancangan permainan kami.

“Kami mendapat sokongan padu daripada penyokong Malaysia, jadi kami berasa bersemangat dan terus berjuang untuk setiap mata,” kata Ee Wei.

Pada aksi dramatik di Adidas Arena kelmarin, Tang Jie-Ee Wei hanya memerlukan 40 minit untuk menyingkirkan beregu No. 2 dunia itu 21-15, 21-14, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan beregu campuran Malaysia sejak kejohanan itu dianjurkan pada 1977.

Dalam pada itu, Tang Jie menekankan kepentingan menikmati setiap saat dan menyingkirkan fikiran negatif sebelum serta semasa perlawanan.

“Saya tidak dapat luahkan apa yang saya rasa sekarang, tetapi saya sangat gembira dan bersyukur kami menjadi juara dunia. Orang lain boleh memanggil kami juara dunia,” kata Tang Jie.

Perubahan besar mereka ialah cara mengurus kesilapan, menenangkan diri dan menarik nafas bagi kekal fokus terhadap strategi dan perancangan permainan.

“Kerana sebelum ini, jika kami melakukan kesilapan, kami akan sangat kecewa, jadi selepas ini kami hanya fokus semula pada apa yang patut kami lakukan dan fokus semula pada perancangan,” jelas Ee Wei.

Sebelum ini, satu-satunya pencapaian tertinggi beregu campuran Malaysia di kejohanan dunia adalah gangsa yang diraih Koo Kien Keat-Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×