Ribuan penduduk dijangka terkorban gempa bumi Afghanistan

Ribuan penduduk dijangka terkorban gempa bumi Afghanistan

SEBAHAGIAN rumah yang runtuh akibat gempa bumi di Lembah Mazar, wilayah Kunar, Afghanistan. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JALALABAD: Operasi menyelamat besar-besaran giat dijalankan di Afghanistan pada Isnin selepas gempa bumi sekuat 6.0 skala Richter dan beberapa gegaran susulan mengakibatkan ratusan rumah runtuh.

Keadaan itu menyaksikan setakat ini lebih 800 nyawa terkorban, menurut Kementerian Dalam Negeri Afghanistan dengan angka itu boleh meningkat dari semasa ke semasa susulan ramai penduduk terperangkap di bawah runtuhan rumah serta bangunan.

Gempa bumi itu berlaku beberapa minit sebelum tengah malam Ahad, menggegarkan bangunan sejauh Kabul hingga ke ibu negara Pakistan, Islamabad.

Menurut jurucakap Abdul Mateen Qani, di wilayah Kunar yang terletak berhampiran pusat gempa, 800 orang disahkan maut manakala 2,800 lagi cedera, dengan banyak rumah musnah sepenuhnya

Di wilayah jiran, Nangarhar, 12 lagi maut dan 255 orang cedera.

Pihak berkuasa Taliban bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menggerakkan usaha menyelamat ke kawasan paling terjejas.

“PBB di Afghanistan amat sedih dengan bencana gempa bumi yang dahsyat ini yang setakat ini sudah meragut ratusan nyawa di wilayah timur,” menurut kenyataan di platform X.

Pasukan bantuan juga dilaporkan sudah berada di lapangan untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan sokongan menyelamat nyawa.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berpusat pada kedalaman cetek sekitar lapan kilometer dan berlaku kira-kira 27 kilometer dari bandar Jalalabad di wilayah Nangarhar.

Gempa cetek lazimnya menyebabkan kerosakan lebih teruk berbanding gempa yang lebih dalam.

Beberapa gegaran susulan turut direkodkan sepanjang malam, termasuk satu gegaran kuat bermagnitud 5.2 pukul 4:00 pagi waktu tempatan kelmarin.

Afghanistan sering dilanda gempa bumi, terutamanya di kawasan Banjaran Hindu Kush, yang terletak di titik pertemuan plat tektonik Eurasia dan India.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×