ERA digital merubah gaya hidup belia secara drastik. Segala urusan kewangan kini boleh dilakukan di hujung jari, daripada membeli makanan hingga membuat pinjaman mikro.
Walaupun memudahkan, ia turut mencetuskan fenomena membimbangkan, ‘beli sekarang, sakit nanti’, iaitu corak perbelanjaan impulsif tanpa pertimbangan jangka panjang.
Kenapa belia mudah terjebak? Antaranya kerana ialah pencetus digital. Notifikasi promosi, iklan bersasar dan strategi pemasaran pintar di aplikasi seperti Shopee dan TikTok Shop. Tawaran seperti Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) menjadikan pembelian besar tampak lebih mudah tetapi hakikatnya mendorong kepada hutang.
Selain itu, emosi juga memainkan peranan besar. Perasaan stres, takut ketinggalan (FOMO) dan tekanan sosial dalam media seperti TikTok dan Instagram menggalakkan pembelian demi kepuasan emosi, bukan keperluan.
Kajian mendapati ramai belia berbelanja sebagai ganjaran kendiri atau cara mengurus tekanan. Ia tabiat yang jika tidak dikawal, mengundang kesempitan kewangan.
Statistik membimbangkan turut menyokong realiti ini. Laporan Jabatan Insolvensi Malaysia (2025) menunjukkan peningkatan belia terjebak dengan hutang tidak produktif, manakala ramai tiada simpanan kecemasan melebihi sebulan gaji. Hal ini berpunca daripada literasi kewangan yang lemah, walaupun mereka celik teknologi.
Namun begitu, teknologi juga boleh membantu mengurus kewangan. Aplikasi bajet seperti Money Lover dan e-dompet dengan had perbelanjaan harian boleh menjadi alat kawalan, jika digunakan dengan disiplin.
Penyelesaian bukan hanya sekadar padam aplikasi beli-belah tetapi memerlukan perubahan sikap, pendidikan kewangan seawal usia muda serta sokongan keluarga dan masyarakat. Nilai kecekapan kewangan perlu dijadikan norma, menggantikan budaya menunjuk kemewahan.
Kesimpulannya, dalam dunia digital yang serba pantas ini, setiap klik membawa kesan. Bijak mengurus kewangan hari ini, bermakna masa hadapan yang lebih bebas dan stabil.-UTUSAN
JERINA IBRAHIM
Politeknik Nilai










