KES buli semakin membimbangkan apatah lagi sehingga meragut nyawa remaja yang masih di bangku sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Statistik memperlihatkan peningkatan kes yang membimbangkan. Menurut data Kementerian Pendidikan, sebanyak 14,000 kes buli dilaporkan pada 2023, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 4,000 laporan kes buli fizikal dan siber sepanjang tahun tersebut.
Lebih membimbangkan, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024 sahaja, sebanyak 6,208 kes direkodkan, membabitkan 5,703 murid. Peningkatan mendadak jelas memberi isyarat fenomena buli semakin serius dan tidak boleh lagi dipandang ringan.
Antara punca berlakunya buli ialah budaya senioriti. Ini kerana pelajar lebih tua merasakan mereka berhak menguasai dan mengawal pelajar lebih muda. Buli juga berlaku kerana pengaruh rakan sebaya, ada pelajar mahu dilihat berani, dominan dan popular, lalu menggunakan kekerasan atau penghinaan terhadap orang lain.
Selain itu, latar belakang keluarga yang bermasalah turut menyumbang pembentukan watak pembuli. Anak-anak yang membesar dalam suasana penuh tekanan, penderaan atau kurang perhatian mudah melampiaskan kemarahan mereka di sekolah.
Faktor pengawasan yang longgar di asrama dan sekolah juga membuka ruang kepada insiden buli berulangkali tanpa disedari atau diambil tindakan serius.
Walaupun punca dan hukuman terhadap pembuli banyak kali dibincangkan, namun tidak memberi fokus secara mendalam terutama kesan kepada mangsa sedangkan mereka mengalami trauma emosi, tekanan mental, rasa rendah diri dan dalam kes tertentu seperti gangguan kemurungan yang serius.
Ada juga yang meninggalkan alam persekolahan kerana tidak lagi mampu menanggung tekanan, sekali gus menjejaskan masa hadapan pendidikan dan kerjaya mereka. Luka fizikal mungkin sembuh tetapi luka emosi mengambil masa lama untuk pulih, malah boleh kekal sepanjang hayat.
Oleh ini, fokus ketika ini patut terarah kepada mangsa. Mereka perlu berani melaporkan insiden kepada pihak berautoriti seperti guru, warden, kaunselor atau ibu bapa kerana sikap berdiam diri hanya memberi peluang kepada pembuli untuk terus mengulangi perbuatan mereka.
Mangsa juga perlu mendapatkan sokongan emosi dengan berkongsi pengalaman bersama rakan yang dipercayai atau ahli keluarga, agar tekanan yang dialami tidak ditanggung bersendirian.
Di samping itu, mendapatkan rawatan psikologi atau kaunseling adalah langkah penting untuk membantu proses pemulihan. Kaunselor sekolah, pakar psikologi atau talian sokongan seperti Talian Kasih boleh menjadi ruang selamat bagi mangsa meluahkan perasaan tanpa rasa takut.
Selain itu, mangsa digalakkan menyimpan bukti sekiranya dibuli, sama ada dalam bentuk mesej, rakaman suara atau catatan peribadi. Bukti ini penting untuk menguatkan laporan yang dibuat serta mengelakkan kes disangkal sebagai rekaan atau salah faham.
Dalam masa sama, penting untuk mangsa menyedari yang mereka tidak bersalah. Tanggungjawab sepenuhnya terletak kepada pembuli dan mangsa tidak seharusnya menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Kesedaran ini dapat membantu mengelakkan rasa bersalah yang boleh memburukkan lagi keadaan mental.
Masyarakat juga perlu lebih sensitif dalam menangani isu buli. Penekanan tidak boleh hanya kepada hukuman berat tetapi juga kepada mekanisme perlindungan mangsa.
Sekolah dan IPT harus memperkukuh sistem pemantauan dengan menyediakan lebih ramai kaunselor, mengadakan kempen kesedaran, serta menubuhkan saluran aduan rahsia untuk pelajar.
Ibu bapa pula perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak kerana mangsa sering menunjukkan tanda-tanda kemurungan, hilang minat untuk ke sekolah atau mengasingkan diri.
Dalam kes pelajar tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir dan pelatih kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, masyarakat menyaksikan betapa besar implikasi kegagalan sistem melindungi mangsa.
Kehilangan nyawa ini harus dijadikan iktibar yang tindakan melindungi mangsa tidak boleh ditangguhkan. Hukuman terhadap pembuli sememangnya perlu tetapi pemulihan dan keselamatan mangsa mesti dijadikan keutamaan. Hanya dengan memberi perhatian kepada suara mangsa, kita dapat mengelakkan tragedi yang sama daripada berulang.
Buli bukan sahaja isu disiplin pelajar tetapi masalah sosial yang melibatkan semua pihak. Apabila mangsa diberi ruang untuk pulih, dilindungi daripada ancaman dan dibimbing untuk membina semula keyakinan diri, barulah masyarakat benar-benar menangani isu ini secara menyeluruh.
Setiap pelajar berhak mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan penderitaan.
Mangsa bukan sekadar statistik dalam laporan tahunan, mereka adalah anak-anak kita, yang masa hadapannya bergantung kepada sejauh mana sistem yang ada mampu melindungi mereka. – UTUSAN
DR. AFIQAH KAMARUL & DR. NURUL NADIRAH ABU HASAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










