KITA baru sahaja menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos lalu. Pun begitu, sejauh mana rakyat Malaysia memahami erti kemerdekaan sebenar?
Merdeka bukan hanya bebas dari penjajahan fizikal tetapi kebebasan minda, jiwa dan nilai kemanusiaan.
Hari ini, penjajahan hadir dalam bentuk baharu seperti buli dan provokasi. Buli, sama ada fizikal, emosi atau siber, adalah penjajahan jiwa yang memadam keyakinan dan maruah mangsa. Provokasi pula menyemarakkan kebencian melalui kata-kata atau tindakan yang menggugat keharmonian kaum dan agama, terutama di media sosial.
Kemerdekaan juga menuntut kebebasan yang bertanggungjawab. Kebebasan bersuara tidak bermaksud boleh menyebar fitnah atau kebencian. Justeru, pendidikan nilai amat penting, bukan hanya di sekolah tetapi melalui teladan ibu bapa dan sikap masyarakat.
Nilai seperti hormat, empati dan tanggungjawab mesti dipupuk demi memastikan negara kekal aman.
Kemerdekaan sebenar adalah apabila rakyat hidup tanpa rasa takut, saling menghormati dan bebas mengejar impian.
Laungan ‘merdeka’ hanya benar-benar bermakna jika ia dihayati dalam tindakan dan nilai seharian oleh setiap warganegara Malaysia.-UTUSAN
DR. NIK MUHAMMAD HANIS NEK RAKAMI
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)










