Konflik budaya kerjatoksik jejas kesejahteraan

Konflik budaya kerja toksik jejas kesejahteraan

MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 15 peratus daripada golongan pekerja mengalami satu atau lebih bentuk gangguan mental.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAYA kerja toksik di pejabat memberi kesan terhadap kesejahteraan mental pekerja dan prestasi organisasi kini semakin ketara. Budaya tempat kerja yang negatif termasuk gaya pengurusan autoritarian dan kurangnya empati boleh dianggap sebagai hazard psikososial, iaitu ancaman kepada kesihatan mental di tempat kerja.

Malangnya, masih ada pihak pengurusan yang menganggap masalah ini remeh atau sekadar masalah individu, lalu mengambil sikap sambil lewa.

Dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan, hazard psikososial merujuk faktor atau keadaan di tempat kerja yang boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mental dan emosi pekerja.

Hazard ini sering berpunca daripada tekanan kerja melampau, hubungan sosial yang tegang atau tidak harmoni, perbuatan buli serta ketidakseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Contohnya beban kerja berlebihan, budaya kerja yang tidak menghormati masa rehat serta gangguan atau diskriminasi di pejabat.

Laporan pada 2024 oleh Wellness at Work dari Employment Hero, melibatkan 1,015 pekerja di Malaysia dan data daripada kaji selidik tersebut mendapati peratusan pekerja yang keletihan melampau di pejabat semakin meningkat.

Peningkatan itu melonjak ke 67 peratus pada tahun ini berbanding 58 peratus pada 2022.

Terdapat istilah ‘kepimpinan toksik’ yang merujuk jenis kepimpinan yang memberi kesan buruk kepada pekerja dan organisasi.

Pemimpin jenis ini seringkali mementingkan diri sendiri, mengabaikan kepentingan bersama dan menggunakan kelebihan untuk memanipulasi serta menyakiti orang lain.

Mereka boleh menunjukkan tingkah laku seperti narsisme, autoritarianisme dan diskriminasi. Pekerja yang terlalu lama bekerja di bawah ketua toksik menghadapi risiko masalah kesihatan fizikal seperti penyakit jantung.

Kesan konflik budaya toksik ini bukan hanya pada individu, tetapi turut merugikan organisasi. Pekerja yang terbeban emosi cenderung untuk hilang tumpuan dan komitmen, mengambil cuti sakit dengan lebih kerap atau terus berhenti kerja.

Produktiviti menurun dan kos operasi meningkat, sama ada dalam bentuk pekerja yang berhenti selepas mendapat peluang lebih baik, kesilapan kerja, mahupun keperluan melatih pekerja baharu menggantikan yang berhenti.

Menurut statistik kesihatan kebangsaan, isu psikososial memberi impak ketara kepada ekonomi. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan 4.6 peratus populasi dewasa di Malaysia mengalami simptom kemurungan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 15 peratus daripada golongan pekerja mengalami satu atau lebih bentuk gangguan mental. Dalam masa sama, kemurungan dan kegelisahan menyumbang kepada kehilangan lebih 12 bilion hari kerja setiap tahun, dengan anggaran kerugian produktiviti global mencecah AS$ 1 trilion (RM4.3 trilion) seperti dilaporkan WHO dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Peranan majikan adalah kritikal dalam mengenal pasti dan mengurus hazard psikososial di tempat kerja. Tidak seperti hazard fizikal yang lazimnya mudah dilihat (contohnya mesin berbahaya atau lantai licin), hazard psikososial memerlukan kepekaan dan empati untuk dikesan.

Pengurusan tertinggi dan sumber manusia perlu membina saluran komunikasi terbuka agar pekerja berasa selamat menyuarakan masalah atau konflik yang dialami. Ini termasuk peka terhadap gejala tekanan atau keletihan melampau dalam kalangan kakitangan seperti perubahan tingkah laku, prestasi merosot atau ketidakhadiran yang kerap.

Tindakan pantas dapat mengelakkan masalah kecil membesar menjadi krisis. Sebagai contoh, jika wujud budaya buli atau gangguan oleh penyelia tertentu, majikan wajar campur tangan tegas. Amalan buli di tempat kerja dikenal pasti sebagai antara punca utama masalah psikologi pekerja, malah ia digariskan secara khusus di bawah piawaian antarabangsa ISO 45003:2021 tentang keselamatan dan kesihatan psikososial di tempat kerja.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada 2024 melancarkan Garis Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial Pekerjaan di Tempat Kerja 2024. Dokumen ini merupakan rujukan komprehensif untuk menilai dan menangani hazard psikososial di persekitaran kerja.
Sudah tiba masanya setiap organisasi berani melakukan perubahan dengan membuang budaya kerja negatif yang lapuk dan membina persekitaran kerja harmoni yang menghargai kesejahteraan mental. Ini adalah langkah strategik untuk memaksimumkan potensi bakat dan meningkatkan produktiviti organisasi.

 

DR. DINA AZLEEMA MOHAMED NOR & MOHD. RAFIZI RAHMAD

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) & Universiti Teknologi Mara (UiTM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×