JALALABAD: Operasi menyelamat besar-besaran dijalankan di Afghanistan pada Isnin selepas gempa bumi kuat dan beberapa gegaran susulan mengakibatkan ratusan rumah runtuh di negara yang bergelut dengan kemiskinan, dengan lebih 800 nyawa terkorban, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Gempa bumi itu berlaku beberapa minit sebelum tengah malam, menggegarkan bangunan sejauh Kabul hingga ke ibu negara Pakistan, Islamabad.
Menurut jurucakap Abdul Mateen Qani, di wilayah Kunar yang terletak berhampiran pusat gempa, 800 orang disahkan maut manakala 2,500 lagi cedera, dengan banyak rumah musnah sama sekali. Di wilayah jiran, Nangarhar, 12 lagi maut dan 255 orang cedera.
Pihak berkuasa Taliban bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menggerakkan usaha menyelamat ke kawasan paling terjejas.
“PBB di Afghanistan amat sedih dengan bencana gempa bumi yang dahsyat ini yang meragut ratusan nyawa di wilayah timur,” menurut kenyataan di platform X, sambil memaklumkan pasukan bantuan berada di lapangan untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan sokongan menyelamat nyawa.
Gempa bumi berpusat pada kedalaman cetek sekitar lapan kilometer dan berlaku kira-kira 27 kilometer dari bandar Jalalabad di wilayah Nangarhar, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Beberapa gegaran susulan turut direkodkan sepanjang malam, termasuk satu gegaran kuat bermagnitud 5.2 pada pukul 4:00 pagi waktu tempatan.
Afghanistan sering dilanda gempa bumi, terutamanya di kawasan Banjaran Hindu Kush, yang terletak di titik pertemuan plat tektonik Eurasia dan India.










