Angka kes buli mungkin lebih besar

Angka kes buli mungkin lebih besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angka sebanyak 7,681 kes buli yang direkodkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang tahun lalu tidak mencerminkan situasi sebenar kerana banyak insiden didakwa masih tidak dilaporkan.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, jumlah sebenar berkemungkinan jauh lebih tinggi berikutan ramai murid takut, malu dan bimbang dikenakan tindakan balas jika membuat laporan.

Katanya, keadaan itu menye­babkan wujudnya dark figure atau angka gelap yang tidak dapat dikesan dalam rekod rasmi.

“Walaupun angka ini menunjukkan keseriusan isu buli, kita harus sedar bahawa ini mungkin angka yang didaftar disebabkan kes yang serius dan bukanlah jumlah sebenar kerana banyak kes yang tidak dilaporkan oleh mangsa dan tidak dikesan oleh pihak sekolah.

“Faktor seperti takut, malu dan kekangan komunikasi menyebabkan ramai pelajar tidak melaporkan kejadian buli yang mereka alami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Rabu lalu, akhbar ini melaporkan sebanyak 7,681 kes salah laku buli direkodkan di sekolah bawah KPM sepanjang tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Fadh­lina Sidek berkata, daripada jumlah itu, 1,992 kes melibatkan sekolah rendah manakala 5,689 kes berlaku di sekolah menengah berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

Tambah Juhari, sistem disiplin di kebanyakan sekolah juga masih menggunakan pendekatan konvensional tanpa mengambil kira pendekatan psikososial yang lebih menyeluruh, dengan guru yang di barisan hadapan berdepan kekangan masa, latihan serta sokongan sistemik.

“Walaupun ada usaha untuk memperbaiki situasi ini, cabaran yang lebih besar adalah dalam penguatkuasaan yang konsisten, terutamanya di sekolah-sekolah besar yang mempunyai jumlah murid yang ramai.

“Oleh itu, adalah penting untuk menambah jumlah kaunselor dan memberikan latihan berterusan kepada guru mengenai cara mengesan awal masalah buli serta cara untuk menangani isu ini dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, disiplin dan sahsiah murid kini semakin longgar serta tiada rasa hormat kepada guru dan peraturan.

Katanya, guru sering diminta bertindak tegas tetapi pada masa sama berdepan keka­ngan kerana seolah-olah ‘tangan diikat’ dan terdedah kepada risiko tindakan daripada pihak berkuasa pendidikan termasuk KPM, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Jadi akhirnya nanti guru akan hanya mengajar dan menegur secara perlu sahaja tanpa melibatkan diri mereka dalam risiko.
“Masyarakat akan hanya menyalahkan guru tetapi apabila guru didapati tidak bersalah, tiada siapa yang membersihkan nama dan maruah mereka,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×