PETALING JAYA: Kegagalan individu yang diberi janji temu menerusi aplikasi MySejahtera di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV klinik kesihatan untuk hadir menerima suntikan vaksin boleh menyebabkan berlakunya pembaziran dos.
Ini kerana satu botol vaksin mempunyai jangka hayat pendek dan perlu diguna sebaik sahaja dikeluarkan dari tempat simpanan.
Difahamkan, satu botol vaksin boleh digunakan oleh enam jarum suntikan sahaja dan menyebabkan ia perlu dihabiskan dalam tempoh ia dibuka.
Sebab itu, apabila terdapat individu yang mendaftar mendapatkan vaksin tersebut namun tidak hadir apabila tiba waktu dijanjikan, orang lain perlu dipanggil segera untuk mendapatkan suntikan itu.
Dalam sesetengah keadaan, pegawai perubatan perlu mencari pengganti dalam masa singkat dan ketika itu menyebabkan sesiapa sahaja yang berada berhampiran lokasi itu boleh dipanggil bagi mengelak daripada membazir.
Botol vaksin perlu dikeluarkan terlebih dahulu untuk mencapai suhu bilik sebelum disuntik kepada individu, yang mana pengulangan perbezaan suhu simpanan dan suhu bilik adalah tidak bagus kepada vaksin kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada vaksin.
Pemangku Pengarah Penyelidikan Institut Genom Malaysia, Dr. Mohd. Anuar Jonet berkata, jangka hayat sesuatu vaksin hanya mampu bertahan selama seminggu apabila disimpan di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Beliau berkata, setiap vaksin mempunyai kaedah penyimpanan tersendiri di dalam peti khas setiap PPV seluruh negara.
“Setiap vaksin ada kaedah penyimpanan. Contohnya vaksin Pfizer (Pfizer-BioNTech), jika ia disimpan di dalam peti sejuk dengan suhu yang rendah dalam lingkungan -80 darjah Celsius, maka itu boleh disimpan beberapa bulan. Tetapi apabila hendak dihantar ke PPV, vaksin itu dikeluarkan dari tempat penyimpanan dan hanya disimpan dalam peti dengan suhu empat darjah Celsius.
“Dengan suhu empat darjah Celsius itu, vaksin berkenaan hanya boleh bertahan dalam tempoh seminggu. Oleh itu, sekiranya terdapat kegagalan untuk hadir janji temu suntikan dan tidak mempunyai pengganti, maka berlaku pembaziran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Anuar berkata, keadaan kaedah penyimpanan dan suhu vaksin sangat dititikberatkan kerana ia adalah sebahagian daripada jaminan yang diberikan oleh pengeluar sesuatu vaksin.
Katanya, seandainya ditakdirkan sesuatu vaksin itu tidak berkesan, maka pihak pengeluar menyemak kembali kaedah pengendalian terhadap vaksin tersebut.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, kegagalan hadir pada janji temu suntikan vaksin mengakibatkan permasalahan pada peringkat pengurusan.
Katanya, setiap PPV mempunyai senarai menunggu, malah ada daripadanya yang menyediakan ‘walk in’ bagi mengatasi masalah sekiranya terdapatnya ketidakhadiran penerima suntikan vaksin.
“Contohnya, jika ada orang tidak datang suntikan, maka mereka akan menghubungi yang dalam senarai menunggu pada satu jam sebelum suntikan untuk datang mengambil suntikan vaksin. Oleh itu, isu pembaziran itu tidak berlaku tetapi hanya menyusahkan dari segi pengurusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











