KUALA PILAH: Walaupun sudah dimamah usia, seorang warga emas cekal untuk menjaga anak sulungnya yang kini terlantar akibat penyakit angin ahmar sejak setahun lalu.
Warga emas itu, Azizah Mohd. Isa, 73, berkata, anaknya, Anisah Mat Som, 53, kini hanya bergantung sepenuhnya kepada susu dan sudah tidak lagi mampu bertutur.
“Saya sangat sedih apabila melihat keadaannya. Seharusnya, dia yang menjaga saya di usia sebegini, tetapi saya pula yang perlu menjaganya.
“Sedih memang sedih, tetapi sebagai seorang ibu, saya reda dan cekalkan diri untuk menjaganya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simat, Johol di sini.
Azizah berkata, anaknya itu rebah ketika menyiram pokok di rumah sewanya di Sendayan sebelum kesihatannya semakin merosot selepas itu.
“Semasa dia memandu, dia kata cakap tidak sedap badan, dan penglihatannya kabur lalu meminta anaknya untuk menghantarnya ke hospital.
“Doktor terus menempatkannya di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa dan berada di hospital selama tiga bulan,” katanya.
Lebih menyayat hati, ketika Anisah yang juga ibu tunggal kepada tiga anak itu masih dirawat di ICU, anak sulungnya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Anak sulungnya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika ingin mengambil adik bongsunya di sekolah. Kini anak bongsunya yang sedang berada di tingkatan lima dijaga oleh bekas suaminya,” katanya.
Sementara itu, anak kedua Anisah, Muhammad Zakwan Azman, 26, berkata, dia sanggup berhenti kerja di sebuah gudang di Seremban dan kini hanya melakukan kerja kampung seperti mengambil upah memotong rumput dan tukang rumah.
“Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin membantu nenek untuk menjaga ibu dan kini saya hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan tidak sampai RM 1,000 sebulan,” katanya.
Difahamkan, keluarga Anisah turut menerima bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 serta sumbangan lampin pakai buang dan susu daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Azizah memaklumkan, dia turut mendapat bantuan JKM sebanyak RM 500 untuk kegunaannya namun turut menggunakan wang tersebut untuk pengurusan Anisah.
“Ia bagi menampung kos ambulan ke hospital untuk pemeriksaan bulanan serta keperluan lain yang dianggarkan mencecah RM1,000 sebulan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank milik anaknya, Muhammad Zakwan Azman bernombor 1550-5048-1351.-UTUSAN.









