PETALING JAYA: Aspek keselamatan dan kekuatan bangunan serta infrastruktur untuk mendepani gegaran susulan gempa bumi keenam dalam tempoh seminggu setelah lima bangunan di Segamat, Johor mengalami keretakan.
Pakar kejuruteraan berpandangan kesan daripada gegaran berulang boleh meningkatkan risiko kerosakan jika langkah pencegahan tidak diambil segera khususnya Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) sukar menjangkakan gempa bumi bakal berlaku.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Ir. Dr. Mariyana Aida Ab. Kadir berkata, kesan kumulatif daripada gegaran berulang boleh meningkatkan risiko kerosakan jika langkah pencegahan tidak diambil segera.
Katanya, reka bentuk bangunan moden perlu mempunyai ciri-ciri khusus bagi meningkatkan ketahanannya terhadap gegaran termasuk keupayaan menyerap tenaga dan kemuluran pada kadar tertentu.
“Konsep utama struktur tahan gempa bumi adalah memastikan komponen bangunan mampu menyerap tenaga gegaran secara berkesan sekali gus mengelakkan keruntuhan mendadak.
“Dalam rekabentuk tahan gempa, konsep reka bentuk kukuh harus diaplikasikan bagi memastikan kekuatan satu bangunan.
“Ini penting untuk mengelakkan kegagalan berantai (progressive failure) yang boleh meruntuhkan keseluruhan struktur ketika gempa bumi berlaku,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dalam pada itu, Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi buat kali keenam yang berukuran 2.7 magnitud pukul 7.29 pagi semalam.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), gempa tersebut dikesan pada jarak 2 kilometer Barat Laut dengan kedalaman 10 kilometer dari Segamat.
Sebelum ini, Segamat merekodkan lima kejadian gempa bumi lemah masing-masing pada 24, 27 dan 29 Ogos dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1.
Seorang penduduk, Efirul Rahman, 38, menyifatkan gegaran kali ini agak kuat berbanding sebelumnya walaupun berukuran 2.7 magnitud.
Beliau sendiri mengalami gegaran ini di mana lantai rumah seperti bergerak dan siling bergoyang.
“Saya berada di rumah sewaktu kejadian. Tiba-tiba lantai rumah seperti teralih dan bergerak tetapi keadaan itu hanya dalam dua saat.
“Siling rumah juga rasa bergegar dengan bunyi seperti kenderaan berat lalu di depan rumah tetapi tiada satu pun kenderaan lalu,” katanya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, lima bangunan kerajaan telah mengalami keretakan kecil ekoran kejadian gempa bumi yang terjadi di Segamat sejak minggu lalu.
Katanya, antara premis kerajaan terkesan adalah Kolej Komuniti Segamat 1 dan 2, Kuarters Polis Gemereh dan Hospital Segamat yang masing-masing mengalami keretakan kecil pada dinding. – UTUSAN










