PERIBAHASA Melayu menyebut, ‘Rantau jauh diulangi, rantau dekat dikendana’ begitulah konotasi bagi seorang wakil rakyat muda, Mohd. Sharim Md. Zain, 46, apabila beliau selalu mendekati ‘anak buahnya’ jauh dan dekat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Parlimen Pekan.
Dilahirkan di Alor Setar, Kedah, pemilihan Mohd. Sharim sebagai ADUN Chini memang tepat kerana beliau anak peneroka Felda Chini Tiga lebih tahu selok-belok serta ‘asam garam’ kehidupan masyarakat tanah rancangan Felda di samping kenal rapat dengan penduduk perkampungan tradisional Melayu dan Kampung Orang Asli (KOA) di situ.

Mohd. Sharim berkata, sekiranya tiada urusan di Kuantan termasuk Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau lebih suka berada di kawasan berdamping dengan penduduk dengan berziarah dan menyertai program bersama golongan belia.
“Di samping berziarah, saya menyampaikan bantuan kerajaan negeri kepada yang kurang berkemampuan, warga emas, pesakit kronik malahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Felda dan kampung tradisional termasuk KOA,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Felda Chini Tiga, Pekan baru-baru ini.
Mohd. Sharim yang berpengalaman luas selok-belok hal ehwal di Felda dan NGO berkata, dalam tempoh sebulan jadualnya cukup padat dengan ‘turun lapangan’ berjumpa penduduk di lapan tanah rancangan Felda, kampung tradisional Melayu (8 buah) dan sembilan KOA di sekitar kawasan DUN Chini.

Beliau berkata, berbekalkan slogan ‘Chini Di Hatiku’ sejak dipilih sebagai wakil rakyat dan memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Chini pada 2020, jiwanya terus bersama penduduk apatah lagi Mohd. Sharim sendiri membesar sebagai anak peneroka dan menerima pendidikan awal di Felda Chini Tiga.
Jelasnya, ibarat peribahasa ‘Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak’ begitulah rutin harian sebagai pemimpin yang akan turun padang membantu dan menjaga anak buahnya jika ada kesusahan yang menimpa mereka.
Katanya, sebagai anak peneroka yang sinonim dengan tanah rancangan Felda, pengalaman membesar di situ antara kekuatan yang membantu beliau mencongak pembangunan setempat selain menyelesaikan masalah kebajikan peneroka khususnya di lapan tanah rancangan di kawasan Chini.
BIODATA:
Nama penuh: DATUK MOHD. SHARIM MD. ZAIN
Tarikh Lahir: 13 Mac 1979
Usia: 46 Tahun
Jawatan Kerajaan Negeri:
– ADUN BN/UMNO N23 Chini (2020- sekarang)
Jawatan Dalam Parti:
– Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan (2023 – sekarang)
Katanya, begitu juga kawasan perkampungan tradisional Melayu dan KOA, harapan mereka (penduduk) juga disandarkan kepada beliau apabila kerap memohon bantuan kebajikan serta kemudahan pembangunan menerusi sarana Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.
“Pengurusan lebih mudah dan lancar di samping berteraskan semangat ukhuwah antara saya dengan pengurusan JPKK, Pengerusi NGO dan tok-tok batin KOA apabila berbincang mengenai sesuatu perkara di tempat masing-masing yang boleh saya ajukan kepada pengetahuan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, exco kerajaan negeri malah semasa Persidangan DUN,” katanya.
Terang Mohd. Sharim, beliau juga mengutamakan hasrat memajukan pendidikan di sekolah rendah dan sekolah menengah di DUN Chini supaya setaraf atau lebih baik dengan kawasan daerah lain dengan menyediakan bantuan serta galakan termasuk mendekatkan diri dengan golongan pendidik di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah berkenaan.
“Saya yakin dengan usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, PPD, sekolah rendah dan sekolah menengah di DUN Chini dapat menghasilkan ramai pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
“Hal ini sudah terbukti apabila pelajar di Chini menunjukkan kecemerlangan dalam akademik dan Koakademik malahan pernah mewakili negeri dan Kebangsaan dalam beberapa jenis sukan dan permainan,” katanya.
Mohd. Sharim berkata, sebagai orang yang pernah aktif dalam Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) selama 15 tahun, beliau memberi keutamaan sentiasa lebih mendekati orang muda dengan memberikan galakan dan bantuan bidang keusahawanan berasaskan pertanian dan perusahaan kecil dan sederhana yang menjadi sumber pendapatan di tanah rancangan Felda dan kampung.
Tambahnya, program berbentuk sukan rakyat dan riadah di kawasan Felda dan kampung antara aktiviti sosial yang kerap diadakan lebih signifikan merapatkan hubungan ukhuwah semua lapisan belia dan penduduk dengan pemimpin setempat.
Katanya lagi, program ziarah dan ramah mesra bukan sahaja diatur ke rumah penduduk, tetapi setiap minggu singgah di warung dan kedai kopi untuk bertemu pelbagai lapisan penduduk sambil ‘mengopi’ atau ‘mengeteh’ kerana kesempatan tersebut dapat mendengar luahan pelbagai masalah atau cadangan daripada pengunjung warung berkenaan.
Mohd. Sharim yang pernah memegang jawatan Naib Presiden Majlis Belia Pahang (2020) berkata, beliau turut mengisi undangan Kumpulan Yasin DUN Chini dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang mengadakan bacaan Yasin di Masjid Felda Chini Timur Tiga.
“Program ini juga dilaksanakan di kawasan kampung tradisional dan kaum minoriti Orang Asli yang beragama Islam dengan bantuan Majlis Ugama Islam Pahang dan YADIM sebagai wadah memperkukuh ukhuwah, menyemarakkan semangat kebersamaan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat menerusi usaha dakwah Islamiah,” katanya.
Katanya, bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, beliau juga berkesempatan menyantuni seramai 250 peserta rakan ‘bikers’ yang mengenderai 180 buah motosikal dipasang Jalur
Gemilang dari DUN Chini menuju ke Restoran Kari Kambing 40 Hari, Yong Peng, Johor dalam Program Chini Merdeka Ride @ Aspirasi Pahang1st.
“Sebagai orang muda, saya juga gemar aktiviti bermotosikal lebih lagi dapat sentiasa rapat dengan golongan muda di kawasan Chini di samping dapat menyelami perasaan mereka serta berkongsi pandangan berasaskan kemahiran dan pengetahuan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, berasaskan slogan ‘Chini Di Hatiku’, DUN Chini sudah dikenali dalam bidang pelancongan yang menonjolkan cara hidup masyarakat Felda, kampung tradisional dan KOA berasaskan alam sekitar, tasik dan sungai malahan usaha tersebut diteruskan untuk tarikan pengunjung pada setiap hujung minggu.
‘Kemudahan jalan raya yang baik dihubungkan dengan bandar Kuantan, Pekan, Temerloh serta Segamat (Johor) lebih mendekatkan jarak perjalanan bagi pengunjung singgah beriadah dan berekreasi di samping bertemu dengan saudara-mara dan rakan-taulan di Chini,” ujarnya. –UTUSAN








