Jangan rampas kerusi parti menang PRN 2020 - Utusan Malaysia

Jangan rampas kerusi parti menang PRN 2020

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 semakin meruap dengan suhu dihangatkan dengan kebangkitan rakyat negeri itu dalam menuntut keadilan bagi kes kematian melibatkan pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan menjadi mangsa buli.

Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) atau Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, DATUK MUSTAPHA SAKMUD, kes itu diakui sedikit sebanyak memberi kesan perjalanan PRN kali ini, namun tidak mahu Sabah menjadi titik keretakan kepada ketidakstabilan politik, malah semua pihak tidak mengira parti politik perlu memastikan Sabah dapat dibangunkan, tidak boleh ada kesenjangan antara negeri lain.

Berkongsi hasrat itu dengan Wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan ASLINDA NASIR serta jurugambar, SHID­DIEQIIN ZON, Ahli Parlimen Sepanggar itu turut mahu hasrat kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat direalisasikan supaya tidak ada pertembungan antara tiga gabungan itu pada PRN nanti.

Sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, beliau turut menekankan aspek pendidikan di Sabah menjadi keutamaan dan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak lagi boleh dianggap sebagai kelas kedua, malah ia satu keutamaan dalam melahirkan tenaga mahir berkemahiran tinggi melalui agenda High TVET.

 

KES ZARA QAIRINA BERI KESAN PRN SABAH
MINGGUAN MALAYSIA: Berhubung isu kes Zara Qairina, adakah ia sedikit sebanyak mengganggu perjalanan PRN Sabah dan sokongan kepada kerajaan sedia ada?
Ya, saya fikir ada kesannya, cuma sekarang ini pihak kerajaan sedang menjalankan siasatan dan saya fikir apabila sudah berlaku pertuduhan terutama yang melibatkan kes buli di bawah umur, yang pertama kami di Sabah kita hanya mahu keadilan untuk Zara, kita mahu supaya tindakan diambil kepada mana-mana pihak tidak kiralah siapa walaupun ia berlaku di Sabah, tetapi kita tidak mahu kes ini berulang.

Selepas inkues dibuat, kita akan nampak semakin jelas dan mampu bezakan antara fakta dan auta. Tetapi tidak mengapa, kita harus menghadapinya dengan baik. Cuma saya harapkan masyarakat juga dapat menilai perkara yang sahih dan jangan terlebih emosi.

Sekarang ini pun kita perlu tangani kes buli ini dengan baik, jadi kita perlu bergerak ke hadapan sebab masih banyak perkara lain yang perlu kita fokus untuk memastikan negara ini stabil, begitu juga daripada segi ekonominya supaya tidak terjejas.

Adakah kerajaan lambat bertindak menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar ditangani?
Ya, saya fikir begitu lah. Mungkin ada juga kebenarannya sebab kita memberi ruang kepada ‘penyiasat-penyiasat bebas’ untuk memberi pandangan-pandangan mereka. Bayangkan boleh ada seorang guru beri teori, arwah dimasukkan ke dalam mesin basuh. Itu pun boleh dipercayai?

Maknanya, kerajaan perlu ada mekanisme untuk memberi maklumat, kalau boleh setiap hari tentang kes ini, dan kalau ada kes-kes lain berlaku, segerakan tindakannya. Kalau tidak, orang akan membuat spekulasi dan kita pun maklum, netizen kadang-kadang lebih laju daripada media.

KERJASAMA POLITIK PH-BN-GRS
Kerjasama ke arah PRN nanti, kedudukan PKR sekarang ini sudah berada di peringkat mana daripada segi perbincangannya?
Kita sudah menjalankan beberapa mesyuarat dengan Barisan Nasional (BN), hanya tinggal beberapa kerusi sahaja perlu kita putuskan. Tetapi, daripada segi kerjasama itu memang penting sebab kita mengambil kira di peringkat Pusat di mana kerjasama di antara PH-BN itu memang satu kerjasama yang baik. Cuma kita teruskan juga di peringkat negeri.

Tapi pandangan kami dalam Pakatan Harapan terutama PKR, kita tidak mahu lagi bergantung dengan parti nasional sahaja iaitu PH-BN. Walaupun dalam parti kita ada parti lokal, tetapi orang nampak kita ini seolah-olah daripada parti nasional atau kalau orang Sabah kata Parti Malaya.

Sedangkan kita ada UPKO, dalam BN kita ada PBRS, cuma orang tidak nampak. Tetapi pandangan saya dari awal, sebelum kita mulakan kerjasama dengan BN ini untuk konteks Sabah, saya bersetuju tetapi kena dilibatkan parti lokal. Itu pendirian kita.

Maka sebab itu juga, sekarang ini kita mengambil kira GRS yang ingin bekerjasama dengan kita. Maknanya, kita membuka ruang untuk bersama dengan parti lokal dalam konteks ini. Perundingan pun sedang dibuat dengan pihak GRS, jadi kita mengharapkan mana-mana kerusi yang ditandingi oleh PH ini tidak akan bertindih dengan BN dan GRS.

Apa fokus yang ingin dibawa PH dalam PRN Sabah kali ini?
Orang Sabah ini keutamaannya adalah dari sudut ekonomi dan mahu kebajikan mereka terjaga. Selain itu, kita juga mahu bawa satu kestabilan politik sebab kestabilan politik ini akan membawa kepada kestabilan ekonomi yang akan membangunkan negeri tersebut dengan baik.

Pengalaman kita di Sabah apabila asyik bertukar-tukar kerajaan ini, bertukar-tukar Ketua Menteri, namun kunci utamanya adalah kestabilan dalam politik. Kalau kita dapat capai itu, kita harap akan menjadi teras kepada kerajaan negeri yang akan datang dan kita akan fokus dengan hubungan negeri. Walaupun bertukar kerajaan negeri, air masih belum selesai, jalan raya masih belum selesai. Jadi, perkara asas ini kita perlu selesaikan bersama, tetapi yang penting kestabilan politik di negeri ini.

Adakah Datuk berpandangan GRS ini liabiliti?
Itu pandangan pemimpin BN, keutamaan kita adalah mencapai kestabilan politik. Jadi, maknanya kita kena berlapang dada dan memikirkan apa keutamaan kita. Yang itu, kita perlu selesaikan bersama.

Ada yang melihat PKR cuba bergantung kekuatan terhadap BN dan GRS. Komen Datuk?
Kita ada kekuatan sendiri, kita ada pengundi kita sendiri. Di Sabah ini juga rating paling tinggi adalah Perdana Menteri. Selepas kita analisis keputusan PRU15, daripada segi sokongan, kita juga antara yang tertinggi.

Tetapi daripada segi keseluruhan, kita juga ke depan daripada segi undi. Sebenarnya sokongan akar umbi pun ada juga kerana PKR bukan parti baru kerana sudah bertapak di Sabah sejak 1999. Bila PKR ditubuhkan, ia ditubuhkan bersama dan lahir bersama di Sabah walaupun di peringkat nasional.

Jadi, kita ada kekuatan kita, cuma kita tidak mahu guna kekuatan kita untuk menidakkan peranan lain sebab yang penting, kita satukan kekuatan itu untuk kepentingan Sabah. Jika kita tidak menjaga kestabilan, ia akan memberi kesan kepada Persekutuan di mana kita tidak mahu di peringkat Persekutuan selepas ini bergaduh di sana sini.

Asyik bertukar kerajaan, semua hendak jadi menteri. Jadi, bagaimana kita mahu membangunkan negara? Itu kepentingan kita, bukan isu sama ada kuat atau tidak. Isunya, bagaimana kita menggunakan kekuatan masing-masing ini supaya dapat bersama membangunkan negeri dan juga negara.

PH masih bertindak menjadi pendamai antara BN dan GRS?
Ya, kita akan teruskan usaha ini untuk mendamaikan. Jadi, saya fikir itu pun telah dibuat oleh Presiden, pemerintah, pemerintah negeri, bila memanggil GRS dan BN untuk duduk bersama minggu lepas. Itulah usahanya dan kami di peringkat negeri pun mengambil usaha yang sama.

Jadi, PH-BN akan bergerak bersama dengan GRS pada PRN ini?
Ya, kita usahakan.

Perkembangan pertemuan Perdana Menteri dengan Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi?
Tidak boleh didedahkan, itu peringkat tertinggi sahaja. Itu yang kita sedang uruskan sekarang.

PATUH PEMBAHAGIAN KERUSI
Adakah Datuk percaya kerjasama politik antara GRS, PH dan juga BN ini adalah ujian untuk ketiga-tiga parti?
Itu yang kita sekarang cuba uruskan supaya wujud kestabilan politik di negeri Sabah. Tetapi kami tidak boleh cakap bagi pihak parti lain. Kita hanya mengusulkan supaya ada kerjasama yang berlaku.

Kami sendiri cuba mewujudkan kerjasama politik antara dua pakatan gabungan ini sebab kami menekankan bahawa kestabilan politik itu penting untuk menjaga kestabilan politik dalam Malaysia.

Jadi, sekarang ini masing-masing perlu berfikir di mana kepentingannya, kita harap supaya semuanya berjiwa besar dan dapat selesaikan masalah antara kedua-dua pihak dan memastikan supaya role of negotiation dalam pembahagian kerusi, di mana yang paling utama, mana-mana kerusi yang dimenangi oleh parti yang bertanding tahun 2020 itu mesti kekal kepada parti tersebut.

Tidak kira lah wakil rakyat itu sudah lompat parti.

Maka kerusi itu perlu kekal milik parti bukan berdasarkan parti selepas wakil rakyat itu lompat. Jadi, kita harap itu dapat dipatuhi semua pihak. Kalau tidak, ini yang menyebabkan susah untuk kerjasama.

Jika gagal kerjasama ini, ia akan memberi kesan kepada semenanjung?
PRU ada kerangka sendiri dan kita pun tahu di peringkat negeri ini, seperti juga sebelum ini, kita bergaduh sama sendiri, tetapi pada satu masa, kita kena bersatu juga demi kepentingan. Jadi, saya selaku Pengerusi PKR di peringkat negeri, saya tidak mahu Sabah menjadi titik keretakan. Saya tidak mahu ia berlaku di Sabah. Sebab itu, saya sedang berunding dengan kedua-dua pihak supaya dapat kerjasama.

Tetapi politik adalah politik, macam-macam boleh berlaku. Dulu kita bertembung dengan BN, siapa pernah bermimpi yang akhirnya kita bersama. Dan sekarang pula, kita semakin mengukuh.

Cuma bagi saya sendiri, saya tidak mahu di Sabah ini berlaku keretakan, itu sahaja.

BUKAN RAKYAT SABAH KALAU TIDAK PERJUANG MA63
Tentang perkembangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ini, adakah perkara itu akan dibawa semasa PRN Sabah supaya memberi satu jaminan kepada rakyat Sabah?
Ya, bagi orang Sabah, sesiapa yang tidak mengambil kira MA63 sebagai dasar utama mereka bukan orang Sabah.

Kami, orang Sabah tahu sejarah sebab kita yang membentuk Malaysia ini berdasarkan MA63. Jadi, ada beberapa hak yang kami perlu tuntut, sama ada ditunaikan sekarang ataupun kita bincang kemudian. Tetapi bagi kami, MA63 mesti menjadi keutamaan.

Sebab isunya kami mahu supaya Sabah ini juga dapat dibangunkan, tidak boleh ada kesenjangan antara negeri-negeri lain, sebab kita tahu ada banyak sumber, minyak, gas, tanah kita besar, kita ada kayu balak dan pengeluar kelapa sawit terbesar. Jadi bagi kami, MA63 ini adalah hak yang kita akan perjuangkan. Tidak kira parti, sama ada parti nasional atau parti lokal, daripada segi dasar, kami bersama.

Sebab itu, kami mahu air kami pun dalam keadaan baik, jalan raya pun baik, elektrik pun stabil. Selagi ia tidak dibaiki, ia akan menyebabkan stigma rakyat Sabah bahawa kami tidak diperlakukan secara adil oleh mana-mana kerajaan. Jadi yang itu, untuk rekod sepanjang kita memperjuangkan dan paling banyak rundingan MA63 diselesaikan adalah yang terbaik dalam Kerajaan Madani.

Tetapi kita akur juga memang tidak semuanya dapat ditunaikan sekarang. Cuma yang menjadi harapan orang Sabah adalah supaya ini dapat diselesaikan secara bertahap.

TVET BUKAN KELAS KEDUA
Apakah fokus utama KPT dalam menekankan kepentingan TVET, dan memastikan TVET benar-benar memenuhi keperluan industri, bukan sekadar teori?
Seperti yang saya nyatakan di Parlimen semalam, TVET kini dianggap sebagai pendidikan alternatif perdana negara. Kita tidak lagi bergantung kepada laluan akademik formal semata-mata.

Ekosistem TVET telah diperkasakan supaya menjadi alternatif utama generasi muda, bermula peringkat sijil, diploma, ijazah, malah hingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai kelas kedua atau pilihan terakhir. Untuk menjadi negara maju, kita memerlukan tenaga mahir berkemahiran tinggi. Di KPT, fokus kita adalah High TVET, iaitu bidang teknologi baharu yang benar-benar diperlukan industri.

Bagaimana memastikan kurikulum TVET benar-benar seiring dengan keperluan industri?
Pertama, kita libatkan industri dari awal dalam proses membangunkan kurikulum. Industri bukan sahaja memberi input, tetapi turut bersama-sama membina silibus supaya hasilnya memenuhi keperluan pasaran.

Kedua, kita menubuhkan Government-Industry TVET Coordination Board (GITC). Melalui mekanisme ini, syarikat terlibat dalam menyediakan tempat latihan industri. Jadi, sejak awal lagi, pelajar sudah dikenal pasti untuk diserap masuk ke industri.

Selain itu, kita laksanakan pendekatan seperti 2U2I yang kita laksanakan di rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu dua tahun belajar di universiti, dua tahun lagi di industri. Ini memberi pendedahan yang jauh lebih praktikal berbanding latihan satu hingga tiga bulan yang diamalkan sebelum ini.

Daripada segi kebolehpasaran, sejauh mana graduan TVET dapat diterima industri?
Setakat ini, tahap kebolehpasaran graduan TVET sangat tinggi. Ada institusi yang mencecah hampir 100 peratus, terutama politeknik. Secara umumnya, graduan politeknik mencatatkan lebih 95 peratus kebolehpasaran, manakala graduan universiti lebih 90 peratus.

Industri menilai graduan politeknik lebih praktikal, walaupun kebanyakannya pada peringkat diploma. Sebahagian graduan pula memilih untuk menjadi usahawan. Jadi, walaupun tidak semua bekerja makan gaji, kebolehpasaran mereka tetap tinggi.

Bagaimana pula dengan penglibatan TVET dalam komuniti setempat, khususnya di Sabah?
Tahun ini kita mula memperkenalkan program TVET bersama komuniti di Sabah iaitu Jelajah Pendidikan Tinggi. Setakat sebulan lalu, kita sudah menjelajah sembilan lokasi, termasuk Kota Belud dan Tenom.

Kita bawa kepakaran universiti, politeknik dan kolej komuniti terus kepada masyarakat. Contohnya, UMS berkongsi kepakaran dalam pembinaan rumah cendawan, daripada peringkat penyediaan bongkah hingga menuai hasil. Kita juga libatkan doktor-doktor untuk memberi pendedahan kesihatan dalam bentuk interaktif supaya menarik minat anak-anak muda.

Selain itu, kita jalankan kursus pendek percuma, contohnya membuat keropok lekor, dekorasi bunga, penyelenggaraan motosikal, hingga kemahiran asas seperti menukar gas pendingin hawa kenderaan. Sambutan amat menggalakkan kerana ia sesuai untuk pelbagai peringkat umur.

KURANG 20 PERATUS PENYELIDIKAN UNIVERSITI DIKOMERSIAL
Dari aspek penyelidikan pula, kita tahu universiti banyak menghasilkan kajian hebat. Tetapi, sejauh mana hasil penyelidikan ini berjaya dikomersialkan?
Inilah cabaran besar kita. Daripada segi penyelidikan dan inovasi, universiti kita memang hebat, tetapi kadar komersialisasi masih rendah, kurang daripada 20 peratus. Daripada jumlah ini pula, hanya dikongsi dengan masyarakat, tetapi tidak sampai ke pasaran.

Masalahnya, geran penyelidikan banyak di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sedangkan penyelidik majoriti berada di universiti di bawah KPT. Jadi, kesinambungan ini yang sedang kita usahakan melalui kerjasama rapat antara dua kementerian.

Kita ada kepakaran, kita ada penyelidik, cuma kita perlu perbaiki ekosistem supaya hasil inovasi boleh dikomersialkan. Sudah ada tapi tidak mencukupi. Berbanding dengan China, mereka ada model syarikat seperti Huawei yang memiliki universiti sendiri untuk menghasilkan produk. Kita belum sampai tahap itu sehingga mampu mengeluarkan jenama sendiri dan tidak dikomersialkan secara meluas. Ini ada kelompongan, tetapi masih belum gagal.

Jadi, apakah gesaan Datuk kepada kerajaan berhubung usaha komersialisasi penyelidikan ini?
Saya fikir kerajaan perlu permudahkan laluan ke arah komersialisasi. Kita tidak kekurangan kepakaran, cuma perlu cari mekanisme betul supaya lebih banyak produk berjaya dipasarkan. Saya yakin, dengan kaedah yang sesuai, kita mampu perbanyakkan hasil penyelidikan tempatan di pasaran. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN