KANGAR: Tidak jauh beza dengan orang Melayu menjadi antara gambaran kehidupan masyarakat Siam di Perlis dengan memperlihatkan bagaimana hubungan antara etnik itu dengan penduduk Islam cukup erat dan harmoni.
Meski masyarakat Siam hanyalah minoriti di negeri ini iaitu membabitkan kira-kira 10,000 penduduk dari 13 kampung namun mereka tidak pernah ketinggalan dalam bersama-sama menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Siam Bersatu Negeri Perlis, Pramoot Puan berkata, masyarakat Siam bangga menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia dan sentiasa menyemarakkan sambutan setiap tahun dengan penganjuran program menarik.
“Sempena bulan Kebangsaan, kami juga sering meraikan dengan berkumpul bersama-sama di wat terpilih sekitar negeri ini untuk melakukan upacara sembahyang pada sebelah pagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pramoot berkata, pada tahun ini, komuniti Siam di Kampung Padang Petani, di sini, turut melakukan aktiviti mengedar sebanyak 40 Jalur Gemilang dari rumah ke rumah dengan berarak menggunakan motosikal.
Katanya, aktiviti itu sememangnya rutin pada setiap tahun melibatkan golongan muda di kampung itu dalam menyemai semangat kemerdekaan.-UTUSAN.










