‘Rakyat rela hati berarak sambut detik merdeka’

‘Rakyat rela hati berarak sambut detik merdeka’

ABDUL Khalil Abdul Rahim menunjukkan akhbar The Straits Times yang melaporkan mengenai kemerdekaan Tanah Melayu dan koleksi kamera antik miliknya. – UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: “Tiada siapa yang suruh, tiada siapa yang bayar tetapi semangat lebih daripada segala upah,”.

Demikian perkongsian seorang pesara, Abdul Khalil Abdul Rahim, 87, mengenai pe­ngalamannya menyambut kemerdekaan negara pada malam 31 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka), Kuala Lumpur.

Dia memberitahu masih mengingati dengan jelas suasana sambutan ketika itu di mana ribuan rakyat pelbagai latar belakang berhimpun demi menyaksikan detik bersejarah penurunan bendera penjajah dan pengibaran bendera kebangsaan Tanah Me­layu buat kali pertama.

“Detik 12 malam, kami dengar laungan Merdeka. Saya berdiri di situ, saksikan dengan mata sendiri. Rasa sebak sangat,” katanya ketika ditemui di rumah­nya di Taman Dato’ Shahbandar, Ampangan, di sini.

Menurutnya, waktu itu dia baharu berusia 19 tahun dan datang dari Ipoh ke ibu negara bagi me­nyaksikan detik bersejarah negara itu.

“Saya hanya berbekalkan wang belanja sekitar RM30 termasuk tambang bas, kereta api dan makanan.

“Dari rumah kakak di Kampung Baru ke Padang Kelab Selangor, saya bersama abang dan sepupu berjalan kaki lebih lapan kilometer. Orang terlalu ramai, kami bergerak perlahan tetapi tidak rasa penat langsung.

“Kami bertolak awal pada pukul 5 petang demi mendapatkan tempat terbaik untuk me­nyaksikan acara penting itu,” katanya.

Sebagai seorang pelajar yang meminati bidang fotografi ketika itu, Abdul Khalil turut membawa kamera Brownie miliknya untuk merakam detik bersejarah tersebut.

“Saya bawa 12 gulung filem sahaja, tidak sempat hendak ambil banyak gambar. Tapi saya sempat rakam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur, suasana orang ramai dan laungan ‘Merdeka’,” katanya yang turut menyimpan akhbar The Straits Times tahun 1957 yang melaporkan detik bersejarah itu.

Katanya, rakyat pada ketika itu hidup dalam serba kekurangan, namun semangat patriotik sangat tinggi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×