BESUT: Peserta Projek Sejati Madani Taman Pelagat mengambil langkah bijak mengelakkan lambakan ikan keli Afrika tidak terjual dengan menghasilkan produk hiliran keli salai sejak sebulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Taman Pelagat, Ghazali Che Noh, berkata, walaupun masih baharu dan di peringkat penyelidikan serta pembangunan, sambutan awal amat menggalakkan apabila lebih 100 kilogram keli salai berjaya dipasarkan.
“Persaingan ternakan ikan keli amat tinggi. Bagi pengusaha baharu seperti kami, perlu ada kelainan supaya tidak rugi. Buat masa ini, kami hanya menternak ikan keli dan terpaksa menghantar ke Jerantut, Pahang untuk disalai kerana di sini tiada rumah salai,” katanya ketika ditemui.
Proses menyalai mengambil masa lapan hingga 10 jam bagi memastikan ikan masak sepenuhnya dan menepati piawaian. Buat masa ini, produk berkenaan dijual di sekitar daerah Besut sahaja.
Katanya, pihaknya sedang menghantar sampel produk ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan kajian dan mendapatkan kelulusan keselamatan makanan. Pada masa sama, mereka juga dalam perancangan mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan bagi mengembangkan pasaran ke seluruh negeri.
“Kami bercadang memohon pembinaan rumah salai di Besut supaya kerja-kerja menyalai dapat dilakukan di sini tanpa perlu bergantung kepada negeri lain,” katanya.
Inisiatif itu bukan sahaja mampu mengelakkan lambakan ikan keli malah membuka ruang baharu kepada usahawan tani tempatan meneroka pasaran produk hiliran berasaskan ternakan air tawar.
Hasil permintaan semakin meningkat, Ghazali optimis keli salai berpotensi dikomersialkan secara besar-besaran dan menjadi produk ikon daerah pada masa hadapan.-UTUSAN.











