PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan kewangan khas berjumlah RM30 juta bagi melaksanakan projek pembinaan blok tambahan, blok gantian dan kerja penyelenggaraan di enam buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi , Datuk Seri R. Ramanan berkata, peruntukan ini merupakan komitmen kerajaan memastikan murid di sekolah terbabit mendapat kemudahan pembelajaran yang selesa, selamat dan kondusif.
“Arahan Perdana Menteri jelas, semua projek ini harus secara tender terbuka dan dilaksanakan segera. Inilah komitmen kerajaan untuk memastikan anak-anak kita belajar dalam suasana yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
“Bagi menjamin ketelusan, mesyuarat ini turut menegaskan bahawa setiap proses daripada tawaran tender sehinggalah ke peringkat pembinaan akan dipantau rapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Enam SJKT yang terlibat ialah SJKT Klebang (Perak), SJKT Ladang North Hummock (Selangor), SJKT Ladang Kulai Besar (Johor), SJKT Ladang Rini (Johor), SJKT YMHA (Perak) dan SJKT Sungai Bakap (Pulau Pinang). – UTUSAN










