DI sebalik sifat manja, kucing sebenarnya memiliki naluri semula jadi sebagai pemburu.
Si comel ini gemar mengejar tikus, lipas dan cicak.
Namun berbeza dengan kucing peliharaan Nur Athirah Mahendran Abdullah yang penakut dengan haiwan-haiwan itu.
Katanya, Manjah yang berusia dua tahun itu segera menyorok di dalam kabinet dan laci di ruang tamu, setiap kali nampak kelibat ‘musuhnya’.
Terbaharu, kucingnya itu melompat ke peha suaminya selepas melihat tikus di dapur.
“Kejadian berlaku selepas kami makan malam dan tiba-tiba tikus sebesar tapak kaki melintas di sinki.
“Manjah yang dalam ketakutan terus melompat ke arah suami saya sambil menyembunyikan mukanya,” katanya.
Walaupun niat asal Nur Athirah memelihara Manjah untuk memburu tikus, namun ia tidak kesampaian.
Kucingnya disifatkan ‘rosak’ kerana tidak memiliki naluri semula jadi pemburu.

Gemar main air
Walaupun penakut tikus, tetapi Manjah suka bermain air.
Setiap kali dengar bunyi paip dibuka di dapur, ia segera datang menyelit.
“Kadang-kadang, ia sengaja datang ke sinki, untuk bermain-main dengan titisan air yang jatuh,” katanya.
Oleh itu, Nur Athirah tidak berdepan masalah untuk memandikan Manjah.
Jika kucing lain perlu dipujuk, dipaksa atau dikejar, si comelnya dengan rela hati melangkah masuk ke bilik air.
Malah, ia hanya duduk diam dan tenang menunggu disiramkan air.
Dalam pada itu, katanya, Manjah boleh bertukar menjadi sombong bila kucing lain datang ke rumah.
Sampai satu tahap, ia boleh menyerang dan bergaduh.
“Manjah tidak mahu berkongsi kasih sayang dengan kucing lain.
“Sebab itu, saya dan suami terpaksa membatalkan hasrat untuk tambah haiwan peliharaan baru sebagai penemannya,” katanya.

Hanya makan ikan kembung
Kata Nur Athirah, kucingnya tidak cerewet dari segi pemakanan.
Manjah sukakan hidangan ringkas iaitu nasi berkuah dengan ikan kembung rebus atau goreng.\
Haiwan itu menolak sebarang makanan kucing sama ada kering mahupun basah.
“Biasanya, ia cuma menjilat sedikit sahaja dan adakalanya langsung tidak dijamah.
“Selera unik Manjah secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan saya,” katanya.










