Lihat sendiri kehidupan golongan susah – Anwar

Lihat sendiri kehidupan golongan susah – Anwar

ANWAR Ibrahim meninjau persiapan pada raptai penuh sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menggesa pihak yang menentang Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) melihat dan menyelami sendiri kehidupan go­longan miskin bandar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, go­longan penentang tidak wajar menuduh kononnya RUU tersebut bertujuan merampas hak golongan Bumiputera.

Malah katanya, kerajaan Madani akan terus mempertahankan kepentingan semua kaum.

“Pembangunan itu penting bagi golongan M40 dan B40.Begitu juga dengan orang Me­layu dan India ramai yang miskin.

“Orang yang bercakap ini kadang-kadang tidak pernah tengok orang duduk di satu flat, satu bilik enam anak, ada yang kadang-kadang sudah dua keluarga. Dia tidak fikir, dia hanya cakap teori sahaja,” katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan Le­buhraya Lembah Klang Timur semalam.

Terdahulu, Anwar mengumumkan pengguna Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) akan menikmati tol percuma selama sebulan bermula esok.

Sebelum itu, Anwar terlebih dahulu hadir meninjau persiapan raptai penuh sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Jelas Anwar, pemberian tol percuma tersebut akan bermula pukul 6 pagi esok sehingga 29 September depan sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Lebuh Raya EKVE Seksyen 1 merupakan lebuh raya dua lorong dua hala dengan empat persimpangan bertingkat, iaitu Persimpangan Bertingkat Su­ngai Long, Persimpangan Ber­tingkat Bandar Mahkota Che­ras, Persimpangan Berting­kat Hulu Langat, dan Persimpangan Bertingkat Ampang de­ngan empat buah plaza tol dan dua hentian sebelah.

Jajaran lebuh raya itu merupakan sebahagian daripada laluan Sistem Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) di bahagian Timur, yang berfungsi menyuraikan aliran trafik di pinggir Lembah Klang tanpa melalui pusat bandar Kuala Lumpur.

Dengan pembukaan jajaran itu, pengguna kini mempunyai laluan alternatif yang lebih mudah dari Kajang dan Semenyih ke Hulu Langat, Bandar Mahkota Cheras, dan Ampang, serta sebaliknya.

Ia juga menyediakan sambungan ke Lebuhraya Kajang-SILK dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Ampang.

Dalam pada itu, Anwar menangkis dakwaan bahawa RUU tersebut bertujuan untuk menyingkirkan orang Melayu dari kawasan bandar.

Katanya, kerajaan akan terus tekad untuk meneruskan usaha membangunkan kawasan perumahan daif yang dihuni rakyat miskin di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×