RUU Pekerja Gig pencapaian penting masa depan pekerjaan negara - MEF

RUU Pekerja Gig pencapaian penting masa depan pekerjaan negara – MEF

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam merupakan pencapaian penting dalam usaha membentuk masa depan pekerjaan di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pasaran buruh negara ketika ini telah mengalami transformasi pesat dan ekonomi gig menjadi tonggak penting dalam menyediakan peluang pendapatan kepada jutaan rakyat, khususnya golongan belia, wanita dan pesara.

“MEF menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk menginstitusikan perlindungan adil sambil mengekalkan fleksibiliti yang menjadi tunjang kelestarian ekonomi gig.

“Pendekatan ini selaras dengan prinsip Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan mencerminkan seruan masyarakat antarabangsa untuk liputan keselamatan sosial yang adil dan mencukupi kepada semua pekerja, tanpa mengira status pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat selepas tujuh tahun proses penggubalan dilakukan.

RUU berkenaan diluluskan melalui undian suara dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen pada hari terakhir persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

RUU yang mengandungi 112 fasal, itu dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan diluluskan selepas dibahaskan oleh 23 Ahli Parlimen mewakili blok kerajaan serta pembangkang.

Syed Hussain sementara itu berkata, sebarang rangka kerja undang-undang baharu tidak boleh terlalu ketat kerana ia boleh menghalang perniagaan dan mengurangkan peluang rakyat menjana pendapatan sampingan dalam ekonomi gig.

“Fleksibiliti adalah ciri utama kerja gig yang memberi kebebasan kepada pekerja memilih bila, di mana dan bagaimana mereka bekerja, sambil membolehkan perniagaan meningkatkan perkhidmatan dengan lebih cekap agar mampu berdaya saing dan menarik kepada pelabur tempatan serta antarabangsa,” ujarnya.

Tambahnya, langkah itu juga sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa memandangkan ILO menekankan kepentingan perlindungan sosial kepada bentuk pekerjaan bukan standard termasuk kerja gig dan berasaskan platform. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×