KYIV: Peluru berpandu dan dron Russia menghujani blok-blok pangsapuri di ibu negara Ukraine, Kyiv pada hari Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang termasuk empat kanak-kanak.
Russia terus melancarkan serangan udara ke bandar-bandar Ukraine walaupun Presiden AS, Donald Trump, mendesak gencatan senjata dan pada masa yang sama Moscow kononnya menekankan kepentingan menamatkan perang yang bermula dengan pencerobohan berskala besar pada Februari 2022.
Serangan itu antara yang paling dahsyat di Kyiv menyebabkan kawah sedalam lima tingkat pada sebuah blok pangsapuri, memusnahkan bangunan tersebut hingga terbelah dua.
Trump “tidak gembira dengan berita ini, tetapi beliau juga tidak terkejut,” kata setiausaha akhbarnya, Karoline Leavitt, kepada wartawan.
Misi Kesatuan Eropah, sebuah bangunan kebudayaan kerajaan Britain, serta pejabat dua agensi media turut mengalami kerosakan, mencetuskan bantahan antarabangsa.
Wartawan AFP menyaksikan pasukan penyelamat mengangkat beberapa mayat dari runtuhan sepanjang hari, sambil terus mencari mangsa dalam timbunan puing yang masih berasap.
“Kaca beterbangan… kami menjerit ketika bom meletup,” kata Galina Shcherbak, yang berada di tempat letak kereta berhampiran salah satu lokasi serangan, kepada AFP.
Tentera udara Ukraine menyatakan Moscow melancarkan sebanyak 629 dron dan peluru berpandu dalam serangan itu. Menurut analisis AFP berdasarkan data Kyiv, ini menjadikan serangan tersebut sebagai serangan malam kedua terbesar sejak perang bermula.
Andriy, seorang daripada mangsa yang kediamannya musnah dalam serangan itu, memberitahu AFP dia hanya sempat menyelamatkan diri pada saat akhir.
Sementara itu, satu serangan maritim jarang berlaku oleh dron Russia terhadap sebuah kapal angkatan laut Ukraine di Laut Hitam turut meragut sekurang-kurangnya seorang nyawa, selain menyebabkan beberapa orang cedera atau hilang, kata jurucakap tentera laut Ukraine pada Khamis.










