GUA MUSANG: Projek pembinaan jambatan Pos Balar di sini, yang runtuh pada 9 Mac lalu akibat dihanyutkan arus deras sungai mencatat kemajuan kerja sebanyak 35 peratus dan dijangka siap lebih awal daripada jadual asal.
Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Orang Asli Gua Musang, mengikut jadual asal kerja-kerja pembinaan itu siap sepenuhnya pada 1 Oktober ini.
“Alhamdulillah, kerja-kerja pembinaan berjalan lancar meskipun berdepan dengan beberapa cabaran, termasuk faktor cuaca yang tidak menentu di kawasan pedalaman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Penghulu Pos Balar, Osman Anjang bersyukur apabila proses pembinaan semula jambatan itu berjalan lancar.
Katanya, pembinaan berkenaan bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk malah membolehkan murid-murid kembali semula ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, selepas empat bulan bergadai nyawa meredah arus sungai deras dan melalui jambatan sementara, penduduk Orang Asli di Pos Balar menarik nafas lega apabila pembinaan jambatan kekal masuk ke penempatan itu sudah bermula.
Kejadian kepala air yang kerap berlaku telah menyebabkan jambatan yang menghubungkan kampung dengan sekolah tersebut kerap rosak.
Jambatan utama menghubungkan kampung tersebut pula runtuh sejak 9 Mac lalu, menjadikan laluan ke sekolah bukan sekadar sukar malah sangat berbahaya.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli baru-baru ini menyegerakan pembinaan jambatan di Pos Balar bernilai RM400,000 bagi menggantikan kemudahan yang runtuh dihanyutkan arus deras pada 9 Mac lalu itu.-UTUSAN.









