Wau mini kian diminati, jadi aksesori

Wau mini kian diminati, jadi aksesori

AMIDI Muhammad tekun menyiapkan wau mini yang semakin mendapat sambutan untuk dijadikan aksesori di rumahnya di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Wau mi­ni semakin mendapat sambutan orang ramai yang menjadikannya sebagai hiasan rumah, cenderamata dan aksesori gantung dalam kenderaan.

Permintaan terhadap wau bersaiz kecil itu memberi rezeki berterusan kepada pembuat wau tempatan, Amidi Muhammad, 55, dari Kampung Tok Nasek, di sini yang lebih 40 tahun bergiat dalam seni pembuatan wau tradisional.

“Ramai pelanggan beli wau mini untuk digantung dalam kereta. Ia kecil, ringan dan mencerminkan budaya kita. Ada juga yang jadikan sebagai hadiah majlis rasmi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Amidi, reka bentuk wau mini seperti wau bulan, wau kucing dan wau barat tetap dikekalkan dalam bentuk asal namun disesuaikan dalam skala lebih kecil iaitu antara enam hingga 12 inci dengan warna terang dan corak tradisional, menjadikannya menarik perhatian generasi muda.

Dia juga berharap wau mini dapat membangkitkan perasaan ingin tahu dalam kalangan golongan muda yang semakin jauh dengan permainan wau tradisional.

“Generasi sekarang mungkin tidak pernah main wau, tetapi bila mereka tengok wau mini tergantung dalam kereta atau kedai, mereka rasa teruja. Daripada situ mereka mula bertanya tentang sejarah dan maksud di sebalik reka bentuk wau.

“Biasanya wau mini ini saya buat ketika menghadiri program demonstrasi yang disertai pelajar sekolah. Mereka sangat teruja kerana wau mini ini boleh dijadikan hiasan,” katanya.

Amidi berkata, bahan yang digunakan termasuk kertas warna, buluh halus, rotan dan benang dihasilkan secara manual.

“Setiap wau mengambil masa antara 30 minit hingga dua jam untuk disiapkan bergantung pada kerumitan corak.

“Setakat ini , wau mini ini turut mendapat tempahan dari pelanggan luar Terengganu termasuk dari Johor, Pulau Pinang, Sabah, Brunei dan Singapura. Harga setiap wau mini bergantung kepada saiz dan corak, bermula dari RM25 seunit,” katanya.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, seni pembuatan wau yang dahulunya menjadi lambang jati diri dan kreativiti masyarakat Melayu kian terhakis ditelan arus pemodenan dan sikap acuh tak acuh generasi muda terhadap warisan budaya sendiri.

Walaupun wau mempunyai kepelbagaian bentuk, corak dan nilai simbolik mengikut negeri, kelangsungan tradisi ini bergantung kepada usaha segelintir individu yang berjuang dalam senyap tanpa sokongan sistematik yang kukuh.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×