PARLIMEN: Pembangkang hanya minta RUU PSB ditangguh

PARLIMEN: Pembangkang hanya minta RUU PSB ditangguh

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembangkang menegaskan mereka tidak pernah menolak cadangan kerajaan berkaitan dasar perumahan mampu milik, sebaliknya hanya meminta ia ditangguhkan bagi membolehkan perbincangan lebih mendalam dilakukan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN–Larut) berkata, beliau telah mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH–Tambun) mengenai pendirian blok pembangkang yang bersedia menyokong cadangan kerajaan sekiranya perincian dasar tersebut dapat diperhalusi.

“Dalam isu perumahan mampu milik, saya bersetuju dengan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa tujuan cadangan ini adalah demi kepentingan rakyat, supaya semua berpeluang memiliki rumah. Syabas dan tahniah.

“Tetapi saya ingin betulkan apabila dikatakan kami menolak rang undang-undang yang dibentangkan, itu tidak benar. Kami bukan menolak, cuma minta ia ditangguhkan supaya dapat dibincangkan semula,” katanya ketika mencelah di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata, pembangkang tidak pernah menggunakan bahasa tidak wajar dalam perbahasan, sebaliknya mahu memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diteliti semula antaranya berkaitan tempoh pinjaman perumahan yang disifatkan tidak realistik.

“Rakyat ada yang membuat pinjaman sehingga 35 tahun. Jika undang-undang membenarkan pengambilan semula selepas 30 tahun, ia akan menimbulkan masalah besar kepada pemilik rumah. Perkara ini mesti diperhalusi,” jelasnya merujuk Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025.

RUU PSB 2025 dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua petang ini oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif.

Pada masa sama, Hamzah turut membangkitkan isu kelewatan projek perumahan oleh pemaju yang memberi kesan besar kepada pembeli kerana mereka sudah menanggung komitmen kewangan.

Beliau juga mengingatkan kerajaan agar tidak mengulangi jurang sosial dan ekonomi dalam pelaksanaan dasar perumahan, dengan merujuk pengalaman lampau ketika Anwar masih dalam kerajaan terdahulu.

“Kalau benar kita mahu rakyat kampung mampu duduk di bandar, maka jangan sampai berlaku ketidakadilan atau jurang sosioekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×