TEXAS: Seorang calon Kongres Amerika Syarikat (AS) daripada kumpulan pelampau sayap kanan mencetuskan kemarahan ramai apabila memuat naik video membakar al-Quran menggunakan ‘flamethrower’ sambil mengisytiharkan hasrat untuk menghapuskan Islam di negeri Texas.
Valentina Gomez, yang bertanding sebagai calon Republikan bagi kerusi Kongres Daerah Ke-31 Texas pada pilihan raya 2026, berkongsi rakaman itu di platform X.
Tindakannya mengundang kecaman hebat pelbagai pihak, termasuk pemimpin masyarakat, aktivis hak asasi dan pengguna media sosial.
Dalam video berkenaan, Gomez mengeluarkan kata-kata berbaur kebencian terhadap umat Islam sambil mengeluarkan ancaman.
“Anak-anak perempuan anda akan dirogol dan anak-anak lelaki anda dipenggal, kecuali kita menghapuskan Islam sepenuhnya,” katanya sebelum menyalakan api ke arah naskhah suci itu.
Beliau turut mendakwa Amerika ialah sebuah “negara Kristian” dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap umat Islam sebelum mengakhiri ucapannya dengan menyatakan beliau digerakkan oleh kuasa Jesus.
Texas yang mempunyai kira-kira satu peratus penduduk beragama Islam, dilihat semakin bimbang dengan retorik ekstrem yang boleh mencetuskan keganasan.
Sejarah Gomez turut mencatatkan beberapa aksi ekstrem yang mencetuskan kontroversi di mana pada Disember lalu, beliau memuat naik video memaparkan aksi tembakan ke arah patung menyerupai pendatang tanpa izin diikat pada kerusi, kononnya sebagai “hukuman mati” kepada mereka yang melakukan jenayah.
Selain anti-Islam dan anti-migran, Gomez juga terkenal dengan kenyataan rasis terhadap masyarakat kulit hitam AS, termasuk menggesa mereka keluar dari negara itu jika tidak berpuas hati.
Sikap homofobia Gomez turut mencetuskan kontroversi apabila pada Februari tahun 2024, ketika berkempen di Missouri, beliau membakar buku-buku bertemakan komuniti LGBTQ+ menggunakan flamethrower.
Walaupun sering mencetuskan publisiti sensasi, Gomez gagal dalam cubaan pertamanya untuk bertanding jawatan Setiausaha Negeri Missouri apabila tewas di kedudukan keenam dalam pemilihan parti.
Penganalisis politik menyifatkan tindakan Gomez sebagai percubaan terdesak untuk meraih sokongan melalui retorik kebencian, yang bukan sahaja mengancam keharmonian masyarakat tetapi juga membahayakan keselamatan awam. -AGENSI









