LONDON: Chelsea bersedia untuk mengemukakan tawaran terhadap pemain tengah Barcelona, Fermin Lopez ketika The Blues berusaha memperkuat pasukan sebelum tarikh akhir perpindahan pada 1 September ini.
The Blues yang dikendalikan Enzo Maresca dilaporkan sudah mengadakan perbincangan awal dengan wakil pemain kebangsaan Sepanyol itu, namun sehingga kini masih belum membuat tawaran rasmi kepada Barcelona.
Lopez adalah tonggak penting Barcelona, dengan pemain berusia 22 tahun itu semakin hampir mencatat 100 penampilan bersama skuad utama Barcelona dan menjaringkan lapan gol musim lalu selain 10 bantuan jaringan.
Sumbangan Lopez termasuk enam gol dan lima bantuan jaringan dalam saingan LaLiga yang membantu Barcelona menjuarai liga domestic, mengetepikan musuh tradisi, Real Madrid dalam perebutan gelaran.
Lopez bermain selama 45 minit ketika aksi pembukaan musim Barcelona menentang Real Mallorca minggu lalu, namun sekadar duduk di bangku simpanan dalam kemenangan 3-2 ke atas Levante dalam aksi kedua hujung minggu lalu.
Gergasi Sepanyol yang dikendalikan Hans Flick itu memiliki banyak pilihan di bahagian tengah dengan Pedri dan Marc Casado diturunkan dalam kesebelasan utama minggu lalu, manakala Gavi dimasukkan sebagai pemain gantian.
Barcelona juga boleh bergantung kepada Frankie de Jong, Dani Olmo dan Marc Bernal di posisi terbabit, sekali gus menyaksikan peluang Lopez diturunkan sangat tipis.
Lopez melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Sepanyol tahun lalu ketika menewaskan Andorra, selain beraksi dalam satu perlawanan ketika pasukan itu muncul juara Euro 2024.
Namun, sejak itu pemain berusia 22 tahun itu belum lagi dipanggil semula ke skuad kebangsaan dan perpindahannya dijangka boleh membantu meringankan kedudukan kewangan Barcelona untuk mendaftarkan Wojciech Szczesny, Roony Bardghji dan Gerard Martin.
Jika Chelsea mendapatkan Lopez, bermakna pemain Manchester United, Alejandro Garnacho yang turut menjadi sasaran The Blues akan diketepikan.
Chelsea sebelum ini sudah membawa masuk enam pemain baharu pada musim panas ini termasuk penyerang Joao Pedro bernilai 60 juta pound (RM341 juta) dan Liam Delap pula 30 juta pound (RM170.5 juta).
Pemain sayap Jamie Gittens turut menyertai The Blues dari Borussia Dortmund dengan nilai 55 juta pound (RM312.6 juta), diikuti Jorrel Hato 37 juta pound (RM210.3 juta) dan Dario Essugo 18.5 juta pound (RM105.1 juta).- AGENSI/UTUSAN










