SEREMBAN: Sepasang suami isteri masing-masing didenda RM11,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan daging babi liar iaitu jenis Babi Bodoh dan dua burung serindit, lima tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas tertuduh Chau Thim Choy, 53 dan Ng Sui Ping, 52, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.
Sekiranya gagal membayar denda, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara selama dua bulan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh bersama-sama telah didapati menyimpan bahagian Babi Bodoh (Sus Barbatus) dan dan dua Serindit (Loriculus galgulus) tanpa permit khas dan lesen.
Haiwan berkenaan adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua (babi bodoh) dan Jadual Pertama (serindit) Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.55 petang di sebuah premis di Pekan Broga, Mantin pada 20 Ogos 2020.
Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 68(1) dan Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Bagi pertuduhan pertama, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua (serindit), boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore G Bolongon memaklumkan, alasan tidak tahu mengenai kesalahan menyimpan kedua-dua haiwan berkenaan adalah tidak boleh diterima.
Menurut Gilmoore, spesis Babi Bodoh hanya boleh disimpan dengan permit sah yang dikeluarkan menteri memandangkan hidupan itu kini diancam kepupusan.
Jelas beliau, taburan habitat berkenaan dicatatkan pernah wujud di seluruh semenanjung Malaysia, namun kini hanya boleh didapati di sekitar Johor akibat kemusnahan habitat dan pemburuan tidak terkawal.
Sementara itu, peguam, Low Kin Fai yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa babi berkenaan diperoleh daripada orang asli.
Kin Fai berkata, anak guamnya tidak dapat membezakan Babi Bodoh dengan babi hutan dan memohon hukuman berbentuk denda sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh didenda RM6,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara dua bulan bagi pertuduhan pertama, manakala bagi pertuduhan kedua, masing-masing didenda RM5,000. – UTUSAN










