Pemimpin dihormati, bukan ditakuti

Pemimpin dihormati, bukan ditakuti

PERSEKITARAN kerja yang harmoni lahir daripada sikap kepimpinan yang berakhlak mulia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MENJADI seorang ketua atau pemimpin adalah satu tanggungjawab besar yang tidak boleh dipandang ringan.
Seorang ketua pastinya mengimpikan organisasi yang dipimpinnya menjadi entiti cemerlang dan menjadi contoh kepada organisasi lain. Namun, untuk mencapai tahap tersebut, hubungan antara ketua dan orang bawahan perlu dibina atas asas saling menghormati dan mempercayai.
Persekitaran kerja yang harmoni lahir daripada sikap kepimpinan yang berakhlak mulia. Seorang ketua seharusnya menunjukkan budi pekerti yang baik, mengelak daripada mengeluarkan kata-kata kesat serta tidak menjadikan jeritan dan herdikan sebagai cara untuk menyampaikan arahan. Komunikasi yang membina lebih berkesan daripada komunikasi yang menekan.
Namun, amat dikesali apabila masih wujud segelintir pegawai atasan yang memilih untuk berkomunikasi secara kasar. Dalam perhimpunan atau taklimat, mereka bertindak seolah-olah memaki hamun, malah merendahkan maruah orang bawahan dengan kata-kata menghina.
Lebih membimbangkan, ada yang memperlekeh kemampuan staf bawahan untuk memiliki harta seperti kereta mewah, seolah-olah semua kejayaan dicapai melalui jalan salah.
Apabila arahan disampaikan secara kasar, perasaan tidak puas hati mula berputik dalam hati staf. Mereka mungkin tidak berani membalas secara terbuka, tetapi ketidakpuasan itu akan diluahkan dalam diam. Sikap seperti ini hanya akan menanam rasa benci dan menjauhkan jurang antara ketua dan kakitangan.
Ketua yang dihormati bukanlah yang ditakuti tetapi yang berjiwa besar, merendah diri dan bersikap adil kepada semua. Hidup ini singkat. Janganlah angkuh dengan kedudukan. Hormatilah orang bawahan, kerana mereka juga menyumbang kepada kejayaan organisasi.
Apabila bersara kelak, biarlah dikenang sebagai pemimpin yang dirindui, bukan yang dilupakan. Kerana akhirnya, manusia dikenang bukan kerana kuasa, tetapi kerana budi. – UTUSAN
CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×