KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mengutip hasil cukai berjumlah RM15.30 bilion daripada rokok serta produk rokok elektronik termasuk vape bagi tempoh 2021 hingga Julai 2025.
Kementerian Kewangan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM288.45 juta adalah kutipan hasil cukai bagi peranti serta cecair atau gel bernikotin dan tidak bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan vape.
“Bagi hasil cukai rokok sahaja, jumlah kutipan bagi tempoh sama adalah sebanyak RM15.02 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen semalam.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai jumlah kutipan cukai vape setiap tahun sejak diperkenalkan berbanding jumlah kutipan cukai rokok mengikut tahun sepanjang tempoh sama.
Menurut kementerian, produk yang dikategorikan sebagai demerit goods seperti rokok, produk tembakau serta cecair atau gel bernikotin dan tidak bernikotin untuk rokok elektronik tertakluk kepada duti eksais, selain cukai jualan dan duti import sekiranya diimport dari luar negara.
“Pengenaan duti eksais ke atas produk vape bermula pada 1 Januari 2021 iaitu 40 sen bagi setiap mililiter cecair atau gel tidak bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik, manakala semua jenis peranti rokok elektronik termasuk vape dikenakan duti eksais 10 peratus ad valorem.
“Seterusnya, mulai 1 Mei 2023, skop duti eksais diperluaskan kepada cecair dan gel bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik termasuk vape, juga pada kadar 40 sen per mililiter,” jelasnya. – UTUSAN










