TANJUNG MALIM: Naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Shahirah Azman yang dipamerkan untuk tatapan umum di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini menarik perhatian ramai.
Naskhah tulisan pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada 9 Jun lalu itu dipamerkan di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun di UPSI bermula semalam hingga 2 September ini.
Pelajar UPSI yang melihat pameran tersebut kagum dengan kesungguhan Allahyarham menghasilkan naskhah al-Quran tulisan tangan sebanyak 604 muka surat yang sempurna dan teliti.
Menurut seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda (Tahfiz al-Quran dan Qiraat) dengan Pendidikan, Ahmad Afifi Nik Asri, ketelitian Allahyarham menghasilkan naskhah kitab suci itu membuatkan dia malu dan ibarat tamparan kepada dirinya.
“Saya juga hafiz 30 juzuk al-Quran dan mengambil jurusan berkaitan tahfiz namun tidak mampu untuk menghasilkan naskhah tulisan tangan yang lengkap, bersih dan sempurna seperti Nurly Shahirah.
“Sepanjang kehidupan arwah lebih banyak berdamping dengan al-Quran sendiri berbanding menggunakan telefon pintar yang berbeza dengan pelajar-pelajar universiti lain,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) UPSI Cawangan Sultan Abdul Jalil Shah di sini.
Rakannya, Muhammad Farhan Hakimi Khairul Aizam berkata, walaupun Allahyarham tidak mengambil pengajian berkaitan tahfiz namun ketelitian menghasilkan manuskrip itu membuatkannya takjub.
“Saya pernah bertemu dengannya. Auratnya sentiasa terjaga, tutur percakapan, mudah tersenyum, banyak membantu rakan selain tidak lokek membantu rakan-rakan lain,” katanya.
Bagi Guru Tahfiz Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islamik (I-Furqan) UPSI, Ummikalsum Mat Lazim berkata, langkah dokumentasi manuskrip arwah sememangnya penting sebagai rujukan pelajar-pelajar dan menjadi inspirasi kepada orang lain.
“Satu salinan akan ditempatkan di PTB dan satu salinan lain di Galeri Nurly Shahirah di bangunan I-Furqan yang dijangka siap awal tahun 2027.
“Manuskrip ini jelas membuktikan arwah sentiasa menjaga kemuliaan al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan sepanjang masa,” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Dr. Noraini Abdullah berkata, beliau sendiri tidak pernah menyangka Allahyarham mampu menghasilkan naskhah al-Quran sendiri yang lengkap dan seorang hafiz 30 juzuk al-Quran.
“Kehilangannya amat dirasai kerana sifatnya yang sentiasa berkongsi rezeki dan kerap membantu kawan-kawan. Kini hanya naskhah al-Quran tulisan tangannya sebagai tanda mengimbau kenangan manis bersama,” katanya.
Dalam kemalangan bas pada awal pagi 9 Jun lepas, Nurly Shahirah dan 14 lagi pelajar UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jerteh, Terengganu ke UPSI terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di JRTB di Gerik.
Nahas turut menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang MPV.-UTUSAN.










