Tangani defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat

Tangani defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat

KERAJAAN perlu membuktikan keadilan dan keberanian menerusi tindakan yang nyata dan segera atau terus membiarkan rakyat hidup dalam perasaan kecewa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJIAN Merdeka Center pada Mei lalu menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri naik ke 55 peratus dan kepercayaan kepada kerajaan naik ke 50 peratus. Namun, hanya 43 peratus rakyat yakin negara berada di landasan betul, manakala separuh lagi tetap pesimis (negatif). Walaupun terdapat sedikit peningkatan, ia belum cukup untuk memulihkan kepercayaan sepenuhnya. 

Tambahan pula, kajian Ipsos Populism Report 2025 mendapati 68 peratus rakyat percaya jurang terbesar wujud di antara rakyat biasa dan golongan elit politik dan ekonomi. Malah, separuh daripada mereka mahukan seorang pemimpin yang ‘kuat’ walaupun berani melanggar peraturan. Ini jelas menunjukkan ramai sudah hilang sabar dengan sistem sedia ada.

Kematian tragis Zara Qairina Mahathir menimbulkan gelombang emosi rakyat. Begitu juga dengan kontroversi pelantikan hakim dan protes Turun Anwar.

Justeru, bagaimanakah kerajaan dan institusi awam dapat memulihkan defisit kepercayaan ini? Pertama, kes-kes besar seperti Zara Qairina mesti disiasat secara terbuka dengan hasil yang jelas. Ini bermakna pihak berkuasa perlu mengumumkan perkembangan siasatan secara berkala, memperluas akses kepada laporan rasmi dan memastikan mereka yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan atau pangkat. 

Siasatan hanya berakhir dengan kenyataan umum tanpa bukti tindakan konkrit bakal menambah rasa sinis rakyat yang sudah letih dengan retorik. Malah, ia memberi kesan buruk kepada kes-kes lain di masa hadapan. 

Kedua, proses penggubalan dasar mesti lebih inklusif. Kerajaan perlu menyediakan saluran yang benar-benar mendengar suara rakyat, seperti dialog bersemuka di kawasan luar bandar, platform digital yang membolehkan rakyat memberi maklum balas, serta penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti berisiko. 

Dengan cara ini, rakyat bukan sahaja menjadi penonton tetapi turut menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan.

Ketiga, dengan majoriti rakyat melihat ketidaksamarataan sebagai masalah utama, kerajaan perlu fokus pada langkah konkrit untuk menutup jurang tersebut. Subsidi bersasar perlu dilaksanakan dengan lebih tepat supaya bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. 

Seterusnya, akses kepada pendidikan berkualiti mesti diperluas ke kawasan pedalaman dan sekolah Orang Asli supaya jurang antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan. Program basmi kemiskinan juga mesti dinilai semula agar mencapai sasaran dan bukan sekadar sebuah penyelesaian sementara.

Keempat, sistem keadilan mesti benar-benar bebas daripada campur tangan politik. Jika pelantikan hakim atau keputusan mahkamah dilihat dipengaruhi oleh kuasa politik, defisit kepercayaan rakyat akan semakin menebal. Oleh itu, mekanisme pelantikan dan pemantauan hakim perlu diperkukuh, dengan penglibatan badan bebas dan bukannya hanya keputusan institusi politik. Tanpa reformasi berani dalam bidang kehakiman, sukar untuk rakyat mempercayai  undang-undang bakal ditegakkan secara adil.

Cukuplah dengan segala retorik politik yang ada. Institusi awam dan kerajaan kini mesti memilih, sama ada untuk berani membuktikan keadilan dan keberanian menerusi tindakan yang nyata serta segera atau terus membiarkan rakyat hidup dalam perasaan sinis dan kecewa. Dalam masa sama ia akan terus membakar kepercayaan mereka. Jika ini tidak dilakukan, rakyat pastinya tidak akan berdiam diri. Mereka akan bersuara di jalanan, media sosial, dan di peti undi.-UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK

Pensyarah Kanan, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Perak

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×