LONDON: Seorang wartawan sambilan (stringer) yang sudah berkhidmat dengan agensi berita antarabangsa Reuters selama lapan tahun meletak jawatan dan ‘menamatkan hubungannya dengan organisasi’ itu.
Tindakan itu dibuat selepas Valerie Zink menyifatkan Reuters ‘terlibat dalam membenarkan serta menyebarkan propaganda Israel berhubung serangan terhadap wartawan di Gaza’.
Menurut kenyataannya, Zink menyatakan dia tidak lagi sanggup menyandang pas media Reuters selepas agensi itu menerbitkan dakwaan tidak berasas mengenai wartawan Al-Jazeera, Anas Al-Sharif, merupakan anggota Hamas.
Al-Sharif terbunuh bersama kru media lain dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza City pada 10 Ogos lalu.
“Reuters memilih untuk menyiarkan dakwaan Israel yang tidak berasas, walaupun Anas pernah memenangi Hadiah Pulitzer melalui liputannya untuk Reuters. Mereka gagal mempertahankannya walaupun beliau secara terbuka merayu perlindungan selepas dimasukkan dalam ‘senarai bunuh’ oleh tentera Israel,” katanya.
Zink turut mempersoalkan keengganan media Barat termasuk Reuters untuk menyemak kesahihan maklumat dari pihak berkuasa Israel, sekali gus menurutnya, menjadi penyumbang kepada peningkatan kematian wartawan di Gaza.
Beliau merujuk kepada insiden serangan ke atas Hospital Nasser baru-baru ini yang mengorbankan 20 orang, termasuk jurukamera Reuters Hossam Al-Masri.
Serangan itu disifatkan sebagai “double tap” atau taktik ketenteraan di mana lokasi awam dibom dua kali bagi mensasarkan pasukan perubatan dan media yang hadir membantu.
“Lebih ramai wartawan telah terbunuh dalam tempoh dua tahun di Gaza berbanding gabungan kematian wartawan dalam Perang Dunia Pertama, Kedua, serta peperangan di Korea, Vietnam, Afghanistan, Yugoslavia dan Ukraine,” ujarnya.
Kenyataan tersebut turut mengkritik sikap media Barat yang didakwanya menjadi “saluran penyampai propaganda Israel” dan gagal mempertahankan prinsip kewartawanan yang bebas dan beretika.
“Saya telah memberikan lapan tahun hidup saya kepada Reuters. Tetapi kini, saya hanya mampu melihat pas media ini dengan penuh rasa malu dan dukacita,” kata Zink
Zink mengakhiri kenyataan dengan menyatakan komitmennya untuk terus menyumbang kepada usaha memperjuangkan keberanian dan pengorbanan wartawan di Gaza, yang disifatkannya sebagai “yang paling berani dan terbaik pernah hidup”.










