PARLIMEN: Tiada tekanan beli pesawat Boeing

PARLIMEN: Tiada tekanan beli pesawat Boeing

MENARA MITI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang tekanan terhadap Malaysia Airlines (MAS) untuk membeli 30 pesawat Boeing sebagai syarat bagi mendapatkan pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, keputusan pembaharuan armada MAS adalah berasaskan pertimbangan komersial serta keperluan operasi jangka panjang syarikat penerbangan nasional itu.

“Ia sama sekali bukan hasil desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak luar. Malah, pesanan awal 25 unit B737 MAX telah dibuat sejak 2016, jauh sebelum rundingan tarif dijalankan baru-baru ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kementerian menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengenai dakwaan wujudnya tekanan terhadap MAS untuk membeli pesawat komersial Boeing bagi tujuan mendapatkan pengurangan tarif AS.

MITI berkata, tambahan 30 unit B737 MAX yang diumumkan pada Mac 2025 adalah sebahagian daripada strategi penyegaran armada secara berperingkat, menggantikan pesawat lama yang berusia purata 14 tahun.

“Langkah ini penting untuk memastikan MAS mengekalkan tahap keselamatan, meningkatkan kecekapan bahan api dan memperkukuh daya saing pasaran dalam menghadapi persaingan global,” katanya.

Menurut MITI, keputusan perolehan pesawat itu memberi manfaat limpahan ekonomi kepada negara apabila mengukuhkan lagi ekosistem industri aeroangkasa tempatan.

“Malaysia kini merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan global Boeing menerusi operasi Boeing Composites di Kedah.

“Pelaburan industri aeroangkasa dalam negara mencecah RM25.1 bilion pada 2024 dengan mewujudkan sekitar 30,000 pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Boeing sebelum ini menjangkakan trafik penumpang global akan meningkat pada kadar 4.7 peratus setahun dalam tempoh dua dekad akan datang.

“Dengan perolehan pesawat baharu ini, Malaysia bukan sahaja dapat memenuhi keperluan operasi MAS, malah turut memanfaatkan pertumbuhan sektor pelancongan yang dijangka berkembang pesat.

“Ia adalah keputusan perniagaan yang dibuat berdasarkan faktor komersial dan ekonomi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini