IPOH: Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bahawa parti itu tidak pernah berhasrat mahu menjalin kerjasama politik dengan MCA dilihat sebagai kenyataan yang sombong.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, hakikatnya MCA sendiri tidak pernah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam DAP.
Katanya, sebab itu sehingga kini MCA tidak ada hubungan secara langsung atau kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya hanya mengambil semangat Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan.
Beliau berkata, terserah kepada pemimpin DAP untuk bercakap apa sahaja kerana MCA lebih takut jika rakyat tidak bersama parti itu.
Dakwanya, sudah kelihatan kini rasa tidak puas hati masyarakat Cina kepada DAP.
“DAP tidak perlu bersikap sombong dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian. DAP perlu sedar kerana hari ini kita sudah boleh nampak suara-suara dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap parti itu termasuk dalam kalangan orang Cina.
“Rakyat melihat DAP gagal mengurus tadbir kerajaan dengan baik bukan sahaja dalam isu-isu dasar malah gagal menunaikan janji pilihan raya. Sebab itu kami dapat rasa rakyat semakin kecewa dengan prestasi DAP.
“Lebih mendukacitakan DAP bersikap sombong dan bertindak seolah-olah mereka adalah ‘abang long’ semata-mata merasakan mereka mempunyai sokongan padu rakyat pada pilihan raya umum yang lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) turut mengingatkan DAP supaya tidak mengambil mudah perubahan sokongan dalam pengundi Cina.
Menurutnya, sekiranya sebelum ini orang Cina boleh beralih sokongan daripada MCA kepada DAP kerana mahukan perubahan yang lebih baik, tidak mustahil orang Cina akan mengubah pendirian mereka sekali lagi dengan menolak DAP.
“DAP bukan sahaja gagal menunaikan janji pilihan raya tetapi juga gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik, jadi biar rakyat buat keputusan,” katanya.
Tambahnya, MCA kini hanya mahu memberikan fokus untuk menguatkan parti itu.
“Bagi MCA kami hanya perlu fokus memperkasakan kekuatan parti dan memberi peluang kepada anak-anak muda untuk menjadi ejen perubahan parti yang selaras dengan prinsip Perlembagaan, prinsip kesederhanaan dan menjaga keharmonian sejagat,” katanya.
Sebelum ini, bercakap kepada akhbar ini, Choo Seong berkata, MCA sukar untuk menerima kerjasama dengan DAP meskipun kedua-duanya berada dalam kerajaan yang sama.
Ditanya pemberita mengenai kenyataan tersebut, Anthony Loke berkata, DAP tidak pernah berhasrat mahu menjalin kerjasama politik dengan MCA seperti yang didakwa.
Menteri Pengangkutan itu berkata, kenyataan-kenyataan MCA yang menolak kerjasama dengan DAP adalah tidak berasas kerana DAP sendiri tidak pernah menyatakan hasrat sedemikian.
Anthony Loke juga meminta MCA supaya ‘jangan perasan’ kononnya DAP mahu berkerjasama dengan MCA dan tidak berfikir seolah-olah DAP tidak boleh hidup tanpa MCA.-UTUSAN.










