KUALA LUMPUR: Jangkaan tiada mandat jelas diperoleh mana-mana parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak hanya akan merugikan Sabah termasuk rakyatnya.
Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman sehubungan itu berkata, Warisan mahu rakyat memberi majoriti penuh kepada parti itu sekali gus mampu mentadbir tanpa diganggu tuntutan luar.
“Warisan tidak akan tunduk kepada politik sempit atau pakatan terdesak hanya untuk membentuk kerajaan. Keutamaan kami adalah mandat rakyat bukan permainan kuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, Warisan menolak untuk menjalin sebarang kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.
Bagaimanapun, Azis memberitahu, parti itu tidak menolak jika ada pihak mahu menyokong kerajaan Warisan selepas mandat jelas diberikan rakyat dengan syarat sokongan itu tidak bersyarat dan tidak menuntut habuan politik.
“Kami tidak akan berkompromi dengan prinsip dan perjuangan hanya kerana desakan untuk berkuasa. Politik pascapilihan raya penuh kemungkinan tetapi Warisan tetap berpegang pada satu garis iaitu Sabah mesti ditadbir dengan kuasa mutlak daripada rakyat,” katanya lagi.
Jelas Azis lagi, isu paling penting bukanlah siapa yang akan bergabung selepas pilihan raya, tetapi bagaimana hak Sabah dapat dikembalikan serta kehidupan rakyat dipertingkatkan.
“Rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang jelas, bukannya kerajaan campuran yang rapuh dan mudah digugat,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun hanya selepas PRN akan datang.
Katanya, langkah itu disebabkan pertindihan kerusi yang tidak dapat dielakkan antara UMNO dan GRS.-UTUSAN.











