MULAI 1 Ogos lalu, permohonan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dibuka.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, ibu bapa mula menyusun dokumen dan menyimpan harapan tinggi agar anak-anak terpilih ke sekolah impian. Kita percaya, masa hadapan anak akan lebih cerah dan terarah jika mereka menerima pendidikan di sekolah elit.
Ini kerana ramai yang percaya pada sistem berdisiplin, struktur berasrama yang membina sahsiah dan jenama sekolah berprestij. Sebagai ibu bapa, kita yakin inilah jalan menuju kejayaan.
Namun, dalam kegairahan mengejar laluan ini, kita perlu jujur bertanya, adakah ini juga kehendak anak kita?
Sering kali kita terlalu fokus pada peluang dan kelebihan sehingga terlupa untuk duduk dan berbincang dengan anak tentang kesediaan mereka. Kadangkala anak hanya menurut kerana tidak mahu mengecewakan kita. Mereka diam kerana sayang. Mereka akur kerana hormat.
Tetapi dalam diam itu mungkin tersembunyi rasa takut, resah dan tidak bersedia.
Tidak semua anak sesuai dengan kehidupan di asrama. Mereka ada jiwa, emosi dan had daya tahan. Tidak salah jika mereka belum bersedia. Kejayaan tidak hanya terletak pada SBP atau MRSM. Kejayaan sebenar datang daripada anak yang bahagia, tenang dan berkembang mengikut acuan mereka sendiri.
Tanggungjawab kita bukan berakhir di hari pendaftaran. Di sinilah fasa baharu bermula. Fasa menjadi ibu bapa yang lebih peka, prihatin dan terlibat, walaupun dari jauh.
Anak-anak memerlukan lebih daripada sekadar wang saku. Mereka perlukan perhatian, kasih sayang dan rasa dilindungi. Kita tidak boleh hanya bertanya tentang markah. Kita perlu bertanya soalan yang membuka pintu emosi seperti “Ada orang buli?”, “ Siapa kawan baik?”, “Ada barang hilang?”, “Tidur lena?” Soalan sebegini kecil tetapi kesannya besar. Ia menunjukkan kita hadir dan peduli.
Kita tidak boleh menafikan kes buli dan tekanan emosi dalam kalangan pelajar asrama makin membimbangkan.
Kita tidak boleh terus menormalisasi penderaan emosi sebagai ‘lumrah asrama’. Kita mesti menolak budaya bisu dan senioriti toksik. Kita mesti tegas membina asrama yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga selamat secara emosi dan fizikal.
Kita sebagai ibu bapa perlu lebih berani bertindak. Kita mesti mendidik anak untuk kenal sempadan antara disiplin dan penderaan, antara teguran dan penghinaan. Kita mesti bersuara bila ada yang tidak kena, bukan tunggu menjadi mangsa.
Pihak sekolah juga perlu proaktif. Wujudkan sistem pelaporan yang mesra pelajar.
Latih guru dan warden untuk mengenal tanda-tanda tekanan. Jadikan kesejahteraan pelajar sebagai agenda bersama. Libatkan ibu bapa, bukan sekadar beritahu pada hari mesyuarat.
Kita juga perlu wujudkan komuniti ibu bapa yang saling menyokong. Kadangkala cerita dari anak orang lain membuka mata kita. Dari situlah dapat tahu anak kita tidak keseorangan dan perubahan hanya berlaku bila bersatu.
Ya, kita tetap percaya pada sekolah berasrama penuh. Tetapi kita juga percaya anak-anak kita tidak wajar dibiarkan mengharunginya sendiri. Kejayaan bukan hanya pada sijil dan ranking. Kejayaan ialah apabila anak pulang dengan senyuman, bukan trauma. Kejayaan ialah apabila mereka tahu, mereka disayangi dan dilindungi walau dari jauh.
Sebelum kita tekan butang ‘Hantar Permohonan’, tanya dahulu anak kita: “Adakah kamu benar-benar mahu ke asrama?” Dan selepas mereka diterima masuk, jangan lepas tangan. Terus jadi ibu bapa yang hadir dalam doa, tindakan dan perhatian harian.
Anak kita bukan statistik. Mereka amanah. Dan amanah itu adalah tanggungjawab bersama.
Semoga kita sebagai ibu bapa lebih hadir, peka dan berani bertindak demi kesejahteraan anak-anak sama ada di asrama atau di mana pun mereka berada.-UTUSAN
NOOR AFZAN ZAKARIA
Timbalan Pendaftar, Fakulti Komunikasi dan
Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM)










