JULAI lalu, kita digemparkan dengan berita Zara Qairina Mahathir yang didakwa meninggal dunia akibat buli. Berita tersebut menjadi sensasi dan topik bualan dalam media sosial. Warganet juga tidak melepaskan peluang memberi pandangan di media sosial.
Kita semua mahu keadilan ditegakkan. Kita semua mahu pembuli atau penyebab kematian Zara Qairina dihukum dan kes ini diadili sewajarnya.
Membaca komen di laman Facebook dan X agak menjengkelkan. Ada yang meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletakkan jawatan atas alasan gagal menyelesaikan isu ini.
Adakah menteri layak ditekan sebegini rupa? Saya fikir ia pandangan yang tidak cukup matang.
Saya bertabayyun dan mencari ‘tindakan’ yang dilakukan Menteri Pendidikan itu. Pertama, ya, beliau memang banyak berdiam diri dalam isu ini tetapi Fadhlina sudah membuat kenyataan dan menyatakan pendiriannya di media sosialnya pada 18 Julai lalu. Beliau melawat keluarga mangsa pada 17 Julai.
Dan selepas itu, ada beberapa kenyataannya di dalam portal berita yang menyatakan kementerian akan bekerjasama penuh dalam siasatan.
Kita perlu ingat ia sudah menjadi kes polis dan satu negara tertumpu kepada isu ini. Jika banyak pandangan tentang kes ini dan ia boleh mengganggu proses penyiasatan. Saya fikir itulah sebab utama kenapa Fadhlina selepas daripada kenyataan 18 Julai memilih berdiam dan hanya pada 25 Julai sekali lagi beliau menyatakan kementerian tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat kes salah laku.
Kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab mestilah akur dengan prosedur dan undang-undang. Bukannya terus-menerus menyalahkan seorang menteri.
Pun begitu, saya berpandangan tindakan Fadhlina betul kerana sebarang kenyataan yang tidak tepat hanya akan menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk.-UTUSAN
NAIM AL-KALANTANI
Kuala Lumpur










