Ganti nama Rafflesia: Angkat nama watan, menyisih legasi penjajah

Ganti nama Rafflesia: Angkat nama watan, menyisih legasi penjajah

PENGGANTIAN nama Rafflesia kepada nama bunga patma tidak sesekali menggugat nama saintifiknya, iaitu Rafflesia arnoldii yang sebenarnya adalah nama Inggeris, Rafffles dan Arnold.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN menggunakan perkataan bahasa Melayu sebagai nama bagi bunga Rafflesia di Malaysia bukan sahaja menyemarakkan jati diri kebangsaan, malah selaras dengan seruan pemerintah agar sejarah tanah air dilihat melalui kanta watan dan bukan sekadar kerangka penjajah
Walau bagaimanapun, setakat ini cadangan itu lebih banyak ditentang daripada disokong. Bagi mereka di Borneo, nama Rafflesia bukan sahaja sudah lama mantap penggunaannya malah ia merupakan nama saintifik yang didakwa tidak boleh lagi diubah.

Dari satu segi, penghujahan begini ada logiknya. Antaranya tiada keperluan mendesak untuk mencabar status quo, iaitu keadaan semasa, lagi-lagi yang tidak pun menimbulkan apa-apa jua kontroversi.

Nama Rafflesia memang sudah lama digunakan, bahkan dalam ranah rasmi tanpa dipertikai pun dari sebarang segi. Ini termasuklah dari segi kolonisasi, iaitu keadaan dijajah, mahupun kolonialiti, yakni peninggalan penjajah yang terus wujud walaupun tiada lagi penjajahan fizikal. Begitu juga dengan dekoloniasi, iaitu usaha untuk membebaskan diri daripada kesan politik, sosial dan budaya akibat kolonisasi.

Dari satu segi lain, sebagai negara merdeka lagi berdaulat, iaitu bebas memerintah sendiri selain mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan destini, tidak salah sama sekali untuk kita mendekolonisasikan diri, khususnya untuk tujuan jati diri kebangsaan yang lebih terserlah.

Sehubungan ini, langkah dekolonisasi di negara ini dapat dilihat dengan nyata apabila nama Jesselton sebagai ibu kota wilayah Sabah ditukar kepada Kota Kinabalu pada 1967. Hal sedemkian juga berlaku di Semenanjung dengan penggantian nama bagi sebilangan entiti tempat. Antaranya Province Wellesley kepada Seberang Perai, Port Swettenham kepada Pelabuhan Klang dan Jalan Gurney kepada Jalan Semarak.

Dalam kes bunga Rafflesia, cadangan penggantian dengan nama asal Nusantaranya yang dieja dalam sekurang-kurangnya tiga kelainan, patma, padma dan pakma di tempat berbeza-beza, sesungguhnya adalah langkah nasionalistik dan patriotik yang harus disambut baik.

Penggantian nama Rafflesia kepada nama bunga patma tidak sesekali menggugat nama saintifiknya, iaitu Rafflesia arnoldii yang sebenarnya adalah nama Inggeris, Rafffles dan Arnold. Dua nama ini yang merupakan sebahagian daripada pemerintah penjajah digunakan sebagai penghormatan sahaja.

Secara kebiasaannya, kebanyakan nama saintifik untuk tumbuhan berakarkan perkataan Latin dan Yunani. Antaranya Nephelium lappaceum untuk rambutan dan Artocarpus heterophyllus bagi nangka. Ia bagi menentukan adanya kaedah konsisten untuk mengenal pasti organisme dari segenap pelosok dunia dalam pelbagai bahasa. Ini agar tidak sesekali terkeliru dengan nama yang beraneka itu.

Dengan kata lain, tujuan kewujudan nama saintifik hanya untuk memastikan saintis merujuk kepada organisme sama, tanpa mempeduli namanya dalam apa-apa bahasa atau di mana-mana pun lokasi geografi. Oleh itu, ia tidak sesekali menghalang kita daripada mahu menggunakan nama patma untuk merujuk kepada bunga itu.

Sebenarnya banyak tulisan umum berbahasa Inggeris menggunakan perkataan patma untuk berbicara tentang bunga itu. Inilah juga caranya apabila perkataan durian digunakan oleh penulis barat dalam tulisan umum mereka dan bukannya nama saintifik Durio zibethinus untuk merujuk kepada buah berduri itu.

Dalam kes bunga Rafflesia, penggunaan perkataan patma harus digalakkan. Bukan cuba berhujah dari segi nama saintifiknya yang kononnya tidak boleh sesekali digantikan.

Sebenarnya dalam berhujah sebegitu, jelas kelihatan sesetengah daripada kita masih mempunyai minda tertawan.

Gejala minda tertawan sudah tentu akibat langsung daripada dominasi budaya, khususnya barat. Ia merujuk proses dengan hasilan yang memperlihat nilai, kepercayaan dan amalan budaya dominan.

Pengaruh atau penguasaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam pelbagai bidang. Antaranya bahasa, seperti dalam kes bunga Rafflesia ini. Tidak dapat dinafikan bahasa Inggeris didapati menentukan piawai untuk perkara yang boleh dilakukan dan sebaliknya dalam masyarakat kita.

Hal begini tidak semestinya berlaku pada negara merdeka berdaulat, khususnya yang selalu melaungkan ungkapan keramat “Bahasa Jiwa Bangsa”. Sesungguhnya dengan menggunakan bahasa watan untuk sistem penamaan, ia bukan sahaja merupakan langkah wajib dalam pembinaan negara, juga wajib untuk kenegaraan bermaruah.

Sehubungan nama saintifik yang diuruskan oleh International Code of Botanical Nomenclature, Rafflesia arnoldii sebagai contoh, bersifat retroaktif, yakni sah mulai disahihkan sekitar 1820-an, sehinggalah ada kenyataan terbuka ia tidak sebegitu lagi. Dengan ini, ia bermakna nama saintifik Rafflesia arnoldii bukanlah wajib digunakan selama-lamanya.

Oleh itu, ia boleh sahaja digantikan dengan nama lain sebagai nama saintifiknya dalam apa-apa jua bahasa yang kemudiannya akan dikenakan nahu bahasa Latin. Selanjutnya, ia masih perlu terdiri daripada dua bahagian.

Bahagian pertama yang huruf awalnya dieja dengan huruf besar adalah rujukan kepada genus, iaitu kumpulan tertentu. Manakala huruf awal bahagian kedua yang dieja dengan huruf kecil merupakan rujukan kepada spesies, yakni jenis tertentu. Dua bahagian itu hendaklah ditulis dalam bentuk huruf miring.

Sebenarnya nama saintifik yang selalu berupa nama tokoh sejarah tersohor atau pembesar negara semasa, selain boleh mengambil ciri istimewa pada tumbuhan itu, boleh juga diberikan nama sempena lokasi geografi.

Untuk ini, nama saintifik Rafflesia boleh berbentuk nama Sabah untuk bahagian genus dan nama Tambunan bagi bahagian spesies. Dalam pada ini, penamanan semula ini juga boleh diberikan nama berdasarkan sesuatu peristiwa. Iia boleh berupa nama Zara Qairina untuk mengenang peristiwa penting di Sabah di mana bunga itu merupakan bunga rasmi di seluruh wilayah itu.

Natijah dalam soal penamaan semula ini ialah ia bukan semata-mata manisfestasi dekolonisasi untuk menyahkan legasi penjajah. Lebih penting ia sangat diperlukan untuk identiti nasional, negara dan budaya bagi rakyat.

Ia bukan perkara baharu dan telah dilakukan pada nama negara serta bandar raya tertentu di pelbagai tempat lain. Antaranya nama Inggeris Ceylon dan Burma digantikan dengan nama watan Sri Lanka dan Myanmar. Begitu juga dengan sebutan bahasa Inggeris Bombay dan Peking kepada Mumbai dan Beijing untuk menepati sebutan dalam bahasa watan masing-masing.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×