PETALING JAYA: Sambutan Hari Sarapan Milo (MBD) 2025 berlangsung penuh meriah dan berjaya menarik penyertaan seramai 75,000 peserta di enam lokasi utama seluruh negara bermula dari Putrajaya, Johor Bahru, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Kedah.
Kemuncak acara diadakan di Taman Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah, pada Sabtu lalu, menyaksikan kehadiran kira-kira 5,000 peserta merangkumi pelbagai peringkat umur, daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa dan keluarga.
Antara yang mencuri perhatian ialah Hazim Akmal Hamizan, 28, seorang peserta orang kurang upaya (OKU) dari Kepala Batas, Pulau Pinang.
Meskipun berkerusi roda, anak sulung daripada tiga beradik itu hadir seawal pukul 6.50 pagi bersama keluarganya untuk menyertai larian tiga kilometer (km) itu.
“Walaupun saya berkerusi roda, semangat saya tetap tinggi. Adik lelaki saya membantu menolak kerusi roda hingga ke garisan penamat. Saya turut gembira melihat ibu dan saudara-mara lain turut serta dalam acara ini,” katanya.
Acara turut diserikan dengan penyertaan sebuah keluarga dari Taiping, Perak, yang sanggup memandu selama tiga jam untuk bersama-sama menjayakan acara.
Nabilah Solehin, 29, berkata, mereka sekeluarga amat teruja kerana sembilan ahli keluarga, termasuk tiga anak saudara, mengambil bahagian dalam larian santai itu.

“Kami selalu sertai acara bersama. Ini paling menyeronokkan sebab kami bukan sahaja dapat bersenam, tetapi turut menerima sarapan berkhasiat, minuman, pingat dan cenderahati untuk dibawa pulang,” katanya.
Kehadiran Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim Muadzam Shah turut memeriahkan acara di Kedah, yang merupakan lokasi penutup MBD 2025.
Peserta juga tidak melepaskan peluang bergambar bersama selebriti yang dilantik sebagai Sahabat Milo, Nadhir Nasar dan Erysha Emyra.
Selain larian sejauh tiga km, peserta turut menyertai sesi senaman kecergasan serta mengunjungi pelbagai stesen interaktif Milo yang disediakan.
MBD edisi tahun ini turut bertepatan dengan ulang tahun ke-75 jenama Milo di Malaysia, yang terus komited menyokong gaya hidup aktif dan pemakanan seimbang dalam kalangan rakyat.
Sejak mula dianjurkan pada tahun 2013, MBD telah berjaya menarik lebih 500,000 penyertaan, menjadikannya salah satu acara gaya hidup sihat paling dinanti-nantikan di negara ini.










