SHAH ALAM: Suasana di Seksyen 24 di sini, gempar apabila sebanyak 37 kereta dan tujuh motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel kenderaan malam tadi.
Kejadian itu turut mengakibatkan seorang pekerjanya iaitu lelaki berusia 30-an melecur ketika cuba mengalihkan kenderaan tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan, kira-kira pukul 11.31 malam.
Menurutnya, sepasukan 21 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Bukit Jelutong serta sebuah unit Pasukan Tindak Balas Kebakaran Darat (LFRT) digerakkan dalam operasi pemadaman itu.
“Kebakaran melibatkan sebuah bengkel kenderaan berkeluasan 50 x 100 kaki persegi yang hampir musnah sepenuhnya. Ia turut melibatkan 37 kereta pelbagai jenis dan tujuh motosikal yang berada di premis berkenaan,” katanya hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, seorang pekerja yang melecur diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
“Mangsa yang dilaporkan stabil kemudian dibawa ke hospital oleh keluarganya. Kebakaran berjaya dikawal pukul 12.36 tengah malam sebelum operasi ditamatkan 2.31 pagi tadi,” ujarnya.
Tambah beliau, nilai kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihaknya. – UTUSAN










