LONDON: Bekas pelumba Formula Satu (F1), Johnny Herbert percaya adalah sesuatu yang normal jika Lewis Hamilton mula memikirkan tentang persaraan daripada dunia pemotoran itu.
Hamilton melalui permulaan yang sukar dalam kariernya bersama pasukannya pada musim 2025 selepas juara dunia tujuh kali itu didominasi oleh rakan sepasukannya di Ferrari, Charles Leclerc.
Walaupun Hamilton menunjukkan sedikit peningkatan, dua perlumbaan terakhir sebelum rehat musim panas namun tahap keyakinannya tetap terjejas teruk.
Herbert mula berlumba F1 pada 1989 sebelum bersara pada 2000 percaya terdapat petanda jelas bahawa Hamilton sedang mempersoalkan dirinya sendiri.
“Setahun lalu, ketika dia menang di Silverstone, dia secara jujur mengakui bahawa dia pernah meragui sama ada dia masih mampu meraikan kemenangan.
“Itu menunjukkan bahawa Hamilton sudah lama sedar dan ragu-ragu sama ada dia masih cukup kompetitif seperti yang diinginkan
“Tambahan pula, dalam situasi ini, terdapat perbandingan dengan rakan sepasukannya dan Leclerc sedang menunjukkan prestasi terbaiknya, dia konsisten dan tidak melakukan kesilapan. Dalam semua ini, kita juga tidak boleh lupakan faktor usia Hamilton,” katanya.
Herbert turut merasakan bahawa jika Hamilton tidak menikmati peningkatan prestasi maka tidak hairanlah jika dia mula memikirkan masa depannya dalam F1.
“Jadi, adalah perkara biasa jika satu hari nanti Hamilton mempertimbangkan persaraan, satu keputusan yang sangat sukar untuk dibuat, terutamanya kerana dia akan tertanya-tanya sama ada masa itu benar-benar sudah tiba,” katanya.
Hamilton masih belum menaiki podium sepanjang kariernya bersama Ferrari setakat ini. – AGENSI/UTUSAN










