KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 21 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang peniaga kosmetik, Abdul Rahman Mohamad Hussain yang berdepan pertuduhan mengedar lebih satu kilogram dadah.
Keputusan dibuat Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak selepas dimaklumkan pihak pendakwaan masih menunggu serahan laporan kimia untuk kes berkenaan. Sebelum ini, kes itu ditetapkan hari ini bagi mendengar keputusan laporan kimia namun terpaksa memohon satu tarikh baharu berikutan keputusan laporan masih belum diperoleh.
Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman, 36, atau Man Hidung didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis perniagaan di Pusat Niaga Paya Keladi, di sini pada pukul 8.40 malam, 28 April lalu.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan. Mahkamah sebelum ini tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan kes melibatkan kesalahan berat berkaitan dadah.
Terdahulu, media melaporkan kegiatan pengedaran dadah berselindung di sebalik perniagaan kosmetik berjaya dikesan polis dengan rampasan keseluruhan termasuk aset bernilai lebih RM1 juta. – UTUSAN










