KUALA SELANGOR: Semua pihak khususnya anggota Dewan Rakyat digesa mengamalkan sebutan yang betul agama Islam sebagai ‘agama persekutuan’ kerana didakwa lebih tepat konteksnya dalam Perlembagaan Persekutuan.
Peguam kanan dan pakar perlembagaan, Mohamed Haniff Khatri Abdullah berkata, Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama persekutuan.
“Itu saya kena betulkan, ramai termasuk pemimpin politik selalu salah. ‘Agama rasmi’ adalah agama Islam, mana ada? Islam bukan agama rasmi Malaysia. Islam agama persekutuan, maksudnya roh negara ini ditiupkan agama Islam.
“Kalau agama rasmi, maksudnya wallahi wabillahi watallahi dalam upacara rasmi sahajalah boleh baca doa. Itu maksud rasmi. Adakah agama kita semata-mata agama rasmi, tidak. Ahli politik yang mendengar, saya hendak mengajar, tolong betulkan,” katanya pada Forum Ayuh Bangkit Bangsaku anjuran Muafakat Nasional (MN) Selangor, malam tadi.
Jelas Mohamed Haniff, terdapat empat perkara merupakan tunggak utama dalam Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan persetujuan oleh Majlis Raja-Raja Melayu untuk dipinda walaupun mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Pertama Islam sebagai agama persekutuan, kedua bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152. Ketiga, kita mempunyai keistimewaan sebagai orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak (Perkara 153).
“Keempat, kita mempunyai insititusi diraja yang saya percaya ramai rakyat Malaysia menjunjung institut tersebut walaupun dari semasa ke semasa ada soalan ditampilkan. Empat perkara itu merupakan tunggak utama perlembagaan kita,” ujarnya. – UTUSAN










