Kereta api mewah Jepun batal perjalanan selepas kru minum alkohol melebihi had - Utusan Malaysia

Kereta api mewah Jepun batal perjalanan selepas kru minum alkohol melebihi had

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Sebuah syarikat pengendali kereta api mewah di Jepun membatalkan perjalanan yang dijadualkan selepas mendapati kru mereka telah mengambil alkohol secara berlebihan atas alasan ujian kawalan kualiti selama bertahun-tahun.

Menurut anak syarikat Syarikat Kereta Api Jepun Timur (JR East), beberapa kru telah berulang kali meminum alkohol melebihi had yang dibenarkan dalam rutin pemeriksaan kualiti mereka.

Kesalahan itu dikatakan bermula sekitar September 2022 melibatkan kru kereta api mewah Train Suite Shiki-shima, menurut JR East View Tourism and Sales.

“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan terhadap perniagaan kami, tetapi juga merupakan tingkah laku yang tidak boleh diterima bagi mereka yang bertanggungjawab memastikan kelancaran perjalanan tetamu,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Laporan media tempatan menyebut bahawa enam orang kakitangan telah digantung tugas menyebabkan kekurangan tenaga kerja bagi operasi kereta api tersebut.

Akibatnya, perjalanan yang dijadualkan bermula pada 30 Ogos meliputi kawasan luar bandar Niigata dan Nagano terpaksa dibatalkan, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Perjalanan selama dua malam satu hari itu bernilai lebih USD3,000 (RM12,682) dan menawarkan pengalaman eksklusif termasuk makan malam dalam kereta api dengan sajian masakan Perancis, wain mewah serta lawatan ke ladang wain.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh mereka yang menantikan perjalanan ini,” kata JR East dalam permohonan maafnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×