AIR matanya tumpah mengenangkan nasib anak-anak Indonesia di Malaysia yang serba kekurangan.
Tanpa dokumen pengenalan diri, terpinggir daripada alam persekolahan dan akhirnya membesar dalam keadaan buta huruf.
Di lubuk hati isteri kepada Duta Besar Republik Indonesia di Malaysia, Kiki Hermono, 65, tidak sanggup rasanya melihat generasi kecil itu kehilangan masa hadapan hanya kerana status mereka.
Selaku Ketua Dharma Wanita Persatuan (DWP) Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, beliau menyokong sepenuhnya inisiatif Sanggar Bimbingan, iaitu pusat pembelajaran komuniti di bawah KBRI
yang memberi peluang anak-anak Indonesia menimba ilmu asas.
Ilmu itu termasuk membaca, menulis, mengira, pendidikan agama dan bahasa.
Dengan harapan mereka tidak terus tercicir, sekali gus bersedia menyertai sistem pendidikan formal apabila kembali ke tanah air.
“Ada anak-anak yang sudah besar tetapi masih tidak tahu membaca. Situasi itulah yang benar-benar meruntun jiwa saya.
“Saya bayangkan mereka seperti anak-anak sendiri. Apa akan jadi kepada masa hadapan jika asas itu pun tidak dimiliki, sedangkan dengan pendidikanlah kita dapat memutuskan tali kemiskinan.
“Walaupun tidak dapat bersekolah, sekurang-kurangnya mereka boleh membaca dan dapat diambil bekerja kelak,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini.
Sejak diperkenalkan pada 2019, kini terdapat lebih 60 Sanggar Bimbingan beroperasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Pulau Pinang.
Lebih memilukan, kata Kiki, golongan itu turut dihimpit trauma dan ketakutan.
Situasi itu pernah disaksikannya sendiri ketika mengunjungi sebuah sanggar di Kuala Lumpur.
Sekumpulan murid di pusat pembelajaran tersebut tiba-tiba bertempiaran lari sebaik sahaja melihat kenderaan rombongannya tiba.
Mereka menyangka itu adalah operasi serbuan pasukan keselamatan untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Saya bersama rombongan DWP ketika itu memakai uniform berwarna pic, tetapi mungkin kerana sudah trauma diserbu berkali-kali, mereka terus lari menyembunyikan diri.
“Guru-guru terpaksa memanggil semula seorang demi seorang murid untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Selepas beberapa jam berkenalan, bermesra dan bermain, barulah mereka mula relaks serta berani bercakap,” katanya.
Bagi mengurangkan trauma dialami anak-anak itu, Kiki merintis inisiatif mengadakan program bersama Sanggar Bimbingan pada setiap bulan.
Katanya, setiap sanggar akan diundang membuat persembahan di kediamannya, sekali gus memberi ruang kepada anak-anak tersebut menonjolkan bakat serta membina keyakinan diri.
Suri hati Hermono ini turut menitipkan doa agar anak-anak tersebut terus gigih menuntut ilmu sehingga mampu melangkah ke menara gading.
Perkasa wanita migran
Selain memberi tumpuan kepada pendidikan anak-anak, Kiki juga cakna kepada kebajikan kaum wanita, terutama pekerja migran yang berdepan pelbagai masalah.
Katanya, golongan itu diberi latihan dan bimbingan sepanjang menetap di rumah perlindungan KBRI di Jalan Tun Razak.
Terbaharu, mereka didedahkan dengan ilmu keusahawanan pula sebagai persediaan untuk berdikari dan memulakan kehidupan baharu apabila dihantar pulang ke Indonesia.
“Sejak lima tahun lalu, DWP aktif melatih wanita migran tetapi saya kurang nampak apakah ilmu itu benar-benar dimanfaatkan.
“Saya cuba ambil pendekatan berbeza dengan memasarkan produk makanan mereka dan alhamdulilah sambutan amat menggalakkan.
“Walaupun jualan hanya dibuat di KBRI dan berdasarkan tempahan awal tetapi hasil yang diraih boleh mencecah sehingga RM600 dalam sehari,” katanya.
Antara produk tersebut ialah sambal balado dan hijau, kacang bawang serta minuman jahe atau halia.
Katanya, hasil keuntungan akan diserahkan sepenuhnya kepada kumpulan wanita migran tersebut apabila mereka pulang ke Indonesia.
“Walaupun baru tiga bulan ia diperkenalkan, tetapi saya berpuas hati kerana dapat membuka minda wanita migran dan menyuntik semangat keusahawanan dalam diri mereka.
“Sekurang-kurangnya apabila balik ke kampung kelak, mereka dapat menjana pendapatan dengan berniaga kecil-kecilan tanpa modal besar,” kata wanita kelahiran Semarang, Jawa Tengah ini.
Korban kerjaya demi keluarga
Sebelum memutuskan bergelar suri rumah sepenuh masa, Kiki merupakan seorang jurutera.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universitas Diponegoro ini sempat berkhidmat selama 15 tahun di dalam bidangnya.
“Saya tidak pernah menyesal melepaskan kerjaya kerana ia membuatkan saya lebih dekat dengan keluarga termasuk dapat melihat dua anak membesar.
“Tambahan pula dengan tugasan suami sebagai diplomat dan duta yang menuntut saya bersedia merantau ke luar negara,” katanya yang pernah menetap di Colombia, Uzbekistan, New Zealand, Sepanyol dan Malaysia.

Ujar Kiki, anak sulungnya yang kini berusia 37 tahun menetap di Jakarta, manakala anak bongsu pula berkhidmat di Wellington, New Zealand.
Sudah hampir 15 tahun beliau dan suami melalui kehidupan berdua, berjauhan daripada anak-anak.
“Saya sudah pesan awal-awal kepada mereka tentang tanggungjawab anak untuk menghubungi serta bertanya khabar ibu bapa terlebih dahulu, bukan sebaliknya.
“Dengan cara itu, secara psikologinya kami berasa lebih dihargai, malah setiap hujung minggu mereka pasti membuat panggilan video,” ujarnya yang bakal pulang ke Indonesia dalam masa terdekat berikutan persaraan suami.
Bagi mengisi masa terluangnya kelak, beliau merancang untuk membuka kelas pembuatan kuih-muih secara percuma kepada isteri-isteri pengawal keselamatan di kawasan perumahannya.
Matlamatnya adalah untuk membimbing golongan kurang berkemampuan itu menjana pendapatan sampingan.
“Walaupun sudah ‘pencen’ tetapi saya tidak mahu duduk diam sahaja di rumah. Lebih baik saya gunakan pengalaman ada untuk membantu mereka yang memerlukan selain ke masjid,” katanya.
Seronok tinggal di Malaysia
Malaysia merupakan negara paling lama didiaminya sehingga dianggap sebagai rumah kedua.
Apatah lagi, negara ini berkongsi banyak persamaan dengan Indonesia daripada segi bahasa, makanan, budaya, pakaian, adat dan agama.
“Kali pertama suami berkhidmat di Malaysia adalah pada 2006 hingga 2010 sebagai Timbalan Duta, sebelum kembali semula pada 2020 sebagai Duta hingga kini.
“Pengalaman tinggal di Malaysia sangat menyeronokkan kerana banyak aktiviti diadakan bersama pemerintah, barisan menteri dan isteri-isteri duta, setiap minggu.
“Suasana itu berbeza berbanding di Eropah, di sini suasananya lebih aktif kerana ada sahaja undangan yang perlu dihadiri terutama resepsi perkahwinan dan paling menarik semasa Ramadan dan Syawal.
“Kadang-kadang, kami sesama isteri duta berseloroh sudah ‘kehabisan’ baju untuk menghadiri pelbagai acara.
“Walaupun ‘capek’ (penat) tetapi ia menyenangkan sekali kerana dapat berkenalan dan berjumpa dengan ramai orang,” katanya.
Selain gemar beriadah, wanita ini juga mahir memasak kuih-muih tradisi Indonesia untuk disajikan kepada kenalan dan tetamu di KBRI.-UTUSAN









