OPR 2.75% sokong pertumbuhan ekonomi

OPR 2.75% sokong pertumbuhan ekonomi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal stabil pada 2.75 peratus sehingga akhir tahun ini, memandangkan kadar semasa menyokong pertumbuhan ekonomi dan menyediakan persekitaran yang boleh dijangka kepada perniagaan.

Pakar ekonomi dari Sunway University, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga yakin kadar faedah semasa dapat menyokong pertumbuhan ekonomi hingga 4.8 peratus pada tahun ini, di samping kadar inflasi negara yang kekal terkawal.

Katanya, kadar faedah semasa yang stabil akan menyediakan persekitaran yang boleh dijangka oleh perniagaan, seterusnya mewujudkan keyakinan dalam prospek ekonomi. 

“Perubahan pada kadar faedah memberi kesan kepada keputusan sama ada pengguna dan perniagaan mahu meminjam atau tidak. Ada yang menunggu kadar faedah lebih rendah sebelum membuat pinjaman. 

“Tetapi selagi keyakinan terhadap prospek ekonomi wujud, persekitaran yang stabil akan terus menyokong aktiviti pinjaman dan perbelanjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Walau bagaimanapun, Kim Leng berkata, persekitaran pertumbuhan global masih tidak menentu dan bank pusat boleh terus menyokong ekonomi. 

“BNM sebelum kadar faedah turun sebanyak 25 mata asas. Melainkan ekonomi bertukar menjadi lebih buruk, adalah tidak mungkin kadar itu akan diubah lagi.

“Bagi tahun depan pula, keputusan bergantung kepada keadaan ekonomi, terutamanya dengan tarif baharu yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. 

“Pada masa ini, ekonomi AS menunjukkan tanda-tanda kelembapan, khususnya pasaran buruh. Oleh itu, kami menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) akan memotong kadar faedah kerana pasaran buruh yang semakin lemah,” jelasnya. 

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat bulan depan, namun tidak menolak kemungkinan penurunan sekali lagi pada tahun ini.

Menurutnya, kadar semasa sudah agak rendah untuk persekitaran ekonomi ketika ini untuk terus memacu pertumbuhan.

“Tetapi pada suku ketiga, kita jangka ekonomi akan terjejas sedikit. Kita masih ada ‘peluru’ (penurunan OPR) untuk digunakan pada suku keempat sekiranya diperlukan.

“Kemungkinan OPR boleh diturunkan sekali lagi tahun ini untuk memacu ekonomi. Kita ada tempoh dua tahun lagi untuk mengambil peluang berkembang dengan lebih pesat sebelum berdepan dengan kegawatan ekonomi.

“Kitaran ekonomi biasanya bergerak lima tahun meningkat dan lima tahun menurun. Puncaknya berlaku antara 2022 hingga 2026. Selepas 2026, kita berkemungkinan berdepan satu lagi kegawatan ekonomi yang dianggap normal,” jelasnya.

Tambahnya, jika kadar faedah diturunkan, ia akan meningkatkan bekalan wang dalam pasaran, sekali gus menjadikan ekonomi lebih rancak. 

Mesyuarat MPC BNM telah menurunkan OPR sebanyak  25 mata asas pada 9 Julai lalu dan mesyuarat kali kelima pada tahun ini akan diadakan pada 4 September depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×