GEORGE TOWN: Seramai 192,823 pelancong dari Indonesia direkodkan tiba di Pulau Pinang melalui penerbangan antarabangsa bagi tempoh antara Januari hingga Jun tahun ini; meningkat dua peratus berbanding 188,905 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, peningkatan itu sekali gus mengekalkan Indonesia sebagai pasaran utama pelancongan antarabangsa negeri ini khususnya dalam sektor pelancongan kesihatan yang menjadi tulang belakang industri pelancongan Pulau Pinang sejak sekian lama.
“Pencapaian tersebut juga membuktikan bahawa negeri ini kekal sebagai destinasi pilihan utama rakyat Indonesia selain memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mengetuai delegasi kerajaan negeri bersama lebih 20 pemain industri pelancongan ke Medan dan Jakarta, Indonesia bagi mengadakan jerayawara promosi bertemakan ‘Not the Penang You Know’.
Menurut Hon Wai, pemilihan Medan dan Jakarta amat bertepatan kerana kedua-duanya mempunyai kekerapan penerbangan terus yang tinggi ke Pulau Pinang termasuk jarak Medan-Pulau Pinang yang hanya mengambil masa sekitar 40 minit penerbangan.
“Hubungan udara yang dekat dan kerap ini menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi popular dalam kalangan rakyat Indonesia sejak sekian lama,” katanya.
Hon Wai berkata, Pulau Pinang bukan sekadar destinasi rawatan perubatan, sebaliknya, menawarkan pelbagai tarikan lain yang menonjolkan keunikan budaya, sejarah dan gaya hidup moden.
“Antara tarikan yang diketengahkan termasuklah nasi kandar dan nasi lemak yang digemari oleh pelancong Indonesia, restoran bertaraf Michelin, tarikan unik Entopia by Night, Taman Tema Escape yang meraih empat rekod dunia Guinness serta galeri sejarah digital.
“Selepas empat dekad, hubungan Medan dan Pulau Pinang kekal kukuh dengan pelbagai bentuk kerjasama, termasuk pertukaran budaya dan ekonomi. Lawatan rasmi ini membuktikan persahabatan itu terus diperkasa,” katanya.
Tambah beliau, sehingga Jun tahun ini, terdapat 31 penerbangan terus mingguan dari Medan ke Pulau Pinang, manakala Jakarta mencatat 18 penerbangan, Surabaya (tiga penerbangan) dan Banda Aceh (empat penerbangan) menjadikan keseluruhannya 56 penerbangan terus setiap minggu. – UTUSAN










