141 rangka manusia termasuk kanak-kanak ditemukan dalam kubur besar di Sri Lanka - Utusan Malaysia

141 rangka manusia termasuk kanak-kanak ditemukan dalam kubur besar di Sri Lanka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAFFNA: Penemuan botol susu bayi, mainan berbunyi dan beg sekolah di tapak kubur massa di Chemmani, kawasan bekas zon perang di utara Sri Lanka, mengundang semula persoalan tentang nasib ratusan individu yang hilang sewaktu konflik berdarah puluhan tahun lalu.

Sehingga kini, sebanyak 141 rangka manusia, termasuk rangka dipercayai milik kanak-kanak pelbagai peringkat usia, ditemui di kawasan seluas 165 meter per segi berhampiran tanah perkuburan pembakaran mayat di Chemmani, pinggir bandar Jaffna.

Penemuan mengejutkan ini bermula pada Jun lalu selepas pekerja pembinaan menemui sisa rangka ketika menggali tapak untuk sebuah krematorium elektrik.

Laporan awal menunjukkan rangka-rangka itu dikebumikan secara cetek dan tidak teratur, dipercayai sebagai kubur massa dan antara barangan lain yang ditemui termasuk pakaian bayi, gelang manik kecil, bedak bayi, pakaian kanak-kanak, kasut dan stoking.

Ujian awal mengesahkan salah satu rangka bersama beg sekolah adalah milik seorang kanak-kanak perempuan berusia antara 4 hingga 6 tahun.

Ramai penduduk percaya rangka-rangka ini adalah milik orang awam Tamil yang hilang sewaktu perang saudara antara tentera kerajaan dan kumpulan pemisah Tamil dari tahun 1983 hingga 2009.

“Tidak dapat dipastikan siapa pelakunya, tetapi semua bukti menuding ke arah tentera kerajaan,” kata aktivis hak asasi, Brito Fernando, yang mewakili keluarga mangsa hilang.

Kawasan Chemmani berada di bawah kawalan ketat tentera dari 1996 hingga tamatnya perang pada 2009, dengan pos pemeriksaan yang mengawal keluar masuk penduduk.

Awal bulan ini, barangan yang ditemui dipamerkan untuk membantu pengenalpastian mangsa. Ramai waris datang dengan harapan untuk menemukan petunjuk tentang ahli keluarga mereka.

Pemeriksaan radar bawah tanah mendapati terdapat lebih banyak kawasan dengan tanda kehadiran rangka manusia, di kawasan tiga kali ganda lebih besar daripada tapak yang telah digali.

Pasukan penyiasat kini menunggu kebenaran mahkamah untuk meneruskan penggalian selama lapan minggu lagi.

Kedua-dua pihak, tentera kerajaan dan pemberontak, pernah dituduh melakukan kekejaman yang dikategorikan sebagai jenayah perang pada peringkat akhir perang saudara pada 2009. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×