KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) enggan pulang dengan tangan kosong berdepan Brunei DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, malam ini dengan rombakan dijangka dilakukan dalam kesebelasan utamanya.
Jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, perubahan itu perlu bagi memperkemas beberapa posisi yang dilihat kurang berfungsi dalam aksi sebelum ini.
Katanya, jadual padat dengan perlawanan berturut-turut di tempat lawan turut memberi kesan terhadap tahap kecergasan pemain namun enggan menjadikannya alasan untuk tidak menampilkan aksi terbaik.
“Kita memang ada masalah kepenatan dan kecederaan, tetapi saya percaya pemain tetap memberi yang terbaik. Ketajaman serangan dan pertahanan masih isu utama kerana bila dapat peluang, gagal disempurnakan manakala ketika bertahan pula hilang fokus.
“Apa yang penting, rombakan kecil ini diharap dapat mengimbangi semula kekuatan pasukan,” katanya semalam.
Badrul Afzan berkata, tekanan dihadapi pasukan masih terkawal walaupun dikejutkan dengan kebangkitan Imigresen FC minggu lalu serta menyifatkan DPMM bukan lawan mudah lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.
“Kita mahu segera pulihkan keyakinan selepas kekalahan dalam aksi Piala FA minggu lalu. Dalam Liga Super, rekod kita masih positif dengan satu kemenangan dan satu seri, belum tewas.
“Kami datang ke Brunei dengan satu misi, untuk menang. Jadi sokongan moral daripada penyokong amat diperlukan supaya pasukan terus bersemangat memburu tiga mata,” ujarnya.
Sementara itu, beliaul mengesahkan tonggak import, Gabriel Silva belum cergas akibat kecederaan, namun pemain lain berada pada tahap terbaik untuk diturunkan.
Selepas mengharungi dua perlawanan, TFC kini mengutip empat mata untuk berada di tangga kedua liga manakala DPMM sekadar meraih satu mata dan menghuni kedudukan kesembilan. – UTUSAN











