LONDON: Arsenal mencapai persetujuan secara prinsip dengan Crystal Palace untuk menandatangani Eberechi Eze sekali gus merampas pemain itu daripada genggaman Tottenham dalam perpindahan bernilai sekitar 60 juta pound (RM341 juta).
Eze dilaporkan sudah lama mengimpikan untuk menyertai The Gunners hasil satu pertemuan musim panas lalu meskipun Spurs sebelum itu telah berunding dengan Palace selama 10 hari bagi menyelesaikan perpindahan bernilai 55 juta pound (RM312 juta) termasuk tambahan bonus.
Kecederaan lutut dialami Kai Havertz memaksa Arsenal segera mencari penyerang tambahan dan kembali menyenaraikan Eze sebagai sasaran mereka.
Arsenal sememangnya sudah menyenaraikan pemain England berusia 27 tahun itu, sebagai pilihan sejak awal jendela perpindahan, malah mengetahui kelab London utara itu merupakan destinasi pilihan Eze.
Begitupun selepas berbelanja 63 juta pound (RM358 juta) untuk mendapatkan Viktor Gyokeres, Arsenal pada awalnya mahu memberi tumpuan kepada penjualan pemain sebelum menambah lagi penyerang.
Bagaimanapun, keadaan Havertz yang akan direhatkan lama selepas cedera ketika kemenangan 1-0 ke atas Manchester United Ahad lalu, menyaksikan Arsenal bertindak pantas untuk merampas Eze di depan seteru tetangga mereka.
Pengarah sukan Andrea Berta dan pengurus Mikel Arteta difahamkan sudah bertemu Eze bulan lalu dan pertemuan tersebut meyakinkan pemain berkenaan mengenai projek Arsenal namun ketika itu tiada tawaran rasmi dibuat.
Klausa pelepasan Eze bernilai 60 juta pound (RM341 juta) ditambah 8 juta pound (RM45.4 juta) bonus tamat tempoh minggu lalu.
Menurut Daily Mail Sport, Spurs sudah mencapai persetujuan dengan Palace semalam dan turut menyelesaikan persetujuan peribadi dengan Eze.
Pada ketika itu, pemain berkenaan dilaporkan bersemangat untuk memuktamadkan perpindahan namun Palace berkeras mahu Eze kekal bersama mereka bagi aksi play-off Liga Konferens UEFA menentang kelab Norway, Fredrikstad.
Ketika itulah Arsenal masuk campur untuk menamatkan kemelut perpindahan tersebut dan memenangi perebutan berkenaan.
Spurs memburu Eze susulan James Maddison diketepikan hampir sepanjang musim susulan kecederaan lutut serius. – AGENSI/UTUSAN










